NILAI, 2 Jan 2019 – Kumpulan akademik dari Program Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bantu Majlis Dakwah Negara (MDN) untuk meningkatkan kefahaman umat Islam tentang krisis yang dihadapi oleh umat Islam di dalam dan luar negara melalui penulisan di media.

Menurut Pengerusi MDN, Prof Emeritus Dato Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, menyebarkan fakta yang benar di media adalah perlu untuk meningkatkan pemahaman dan bacaan dalam kalangan masyarakat. Apa yang lebih penting ialah mengenalpasti golongan yang mencetuskan konflik dan krisis dalam kalangan umat Islam, melalui kes-kes yang viral di media.

“Dengan adanya pengaruh media ini secara tidak langsung dapat meningkatkan fungsi MDN dan umat Islam dapat merasakan kewujudan MDN untuk mereka mendapatkan maklumat berkaitan isu umat Islam,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, MDN mengambil inisiatif pertama untuk mengadakan persidangan meja bulat bagi membincangkan krisis umat Islam dalam dan luar negara berikutan ada pihak yang mempersoalkan mengapa MDN mengambil sikap berdiam diri dan tidak memberi sebarang komen terhadap isu-isu yang berlaku berkaitan umat Islam akhir-akhir ini.

Selain itu, Prof Madya Dr Mohd Irwan Subri dari USIM mencadangkan dalam usaha untuk menangani krisis umat Islam di dunia gelombang Islam perlu ditingkatkan dengan mengadakan pelan tindakan seperti mengumpulkan semua pertubuhan Islam dan NGO di dalam dan luar negara dan menjadi wakil untuk bercakap di peringkat antarabangsa.

“Kita perlu menyenaraikan isu-isu berkaitan umat Islam di seluruh Asia dan melihat pendirian negara masing-masing terutama Malaysia untuk mendapatkan maklumat yang kolektif agar lebih cepat memberi maklum balas terhadap isu berkaitan orang Islam dan gerakan Islam di luar untuk mengubah persepsi negatif terhadap umat Islam,” tambah Irwan.

Dalam pada itu, Profesor Dato’ Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid,  menegaskan antara pendekatan paling asas dalam menyelesaikan krisis dalam kalangan umat Islam ialah untuk setiap individu kembali kepada falsafah Islam yang sebenar, dan ini merangkumi dalam kehidupan seharian termasuk dalam hal ehwal berorganisasi.

Ini tambahnya, membolehkan umat Islam kembali kuat kerana setiap keputusan dan tindakan adalah selari dengan ajaran Islam, sekaligus meletakkan umat Islam di landasan yang benar.

Turut terlibat dalam persidangan ini ialah Kumpulan Cendekiawan Ulung yang terdiri daripada para profesor kanan Universiti Awam (UA), Kumpulan Perancangan Strategik dan Kumpulan Media dan Publisiti yang terdiri daripada para pensyarah Program Komunikasi dan Media Baharu USIM.

Majlis Dakwah Negara (MDN) ialah sebuah badan khas yang bernaung di bawah Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ditubuhkan pada Oktober 2013. Sehingga kini MDN didokong oleh ramai tokoh-tokoh dalam negara, para cendekiawan, para asatizah, golongan profesional dan korporat serta pelbagai pihak lain yang terdiri dari pelbagai latar belakang profesion.

Disediakan oleh:

Dr. Fauziah Hassan
Dr. Siti Suriani Othman
Pensyarah Fakulti Kempimpinan dan Pengurusan