NILAI, 20 Ogos 2018 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dipilih oleh Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) sebagai tuan rumah kepada penganjuran Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam peringkat Kebangsaan tahun ini. MASTI telah memilih untuk menjadikan tarikh 20 Ogos pada setiap tahun sebagai tarikh Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam. Hari sambutan ini diadakan bertujuan memartabatkan profesion pentadbir, menyuntik motivasi dan menghargai peranan pentadbir Universiti dalam membina kecemerlangan Universiti Awam (UA) di Malaysia.
Sempena Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam yang diadakan bertempat di Waterfront Hotel, Kuching Sarawak, beberapa program pengisian awal diatur bermula hari ini, Sabtu (18 Ogos 2018) sehingga ke hari kemuncak sambutan pada Isnin (20 Ogos 2018). Antaranya adalah program khidmat sosial, VCORE 4.0 MASTI ‘Scavenger Hunt’ bersama badan kebajikan terpilih, konvensyen dan forum Transformasi Pentadbir Universiti yang dihadiri oleh Pengarah Akademik Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Datuk Profesor Dr. Rohana Yusof dan Majlis Anugerah Gemilang MASTI pada Ahad malam.
Majlis Anugerah Gemilang MASTI diadakan bagi menghargai sumbangan para pentadbir dalam menyokong merealisasikan visi dan misi universiti, pendidikan tinggi dan Falsafah Pendikan Negara. Antara anugerah yang disediakan ialah Anugerah Khas MASTI, Anugerah Pentadbir Cemerlang (Khidmat Komuniti), Anugerah Pentadbir Cemerlang (Kreativiti & Inovasi), Anugerah Pentadbir Terbilang dan Anugerah Kepimpinan Perdana MASTI.
Pada Isnin, Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam 2018 akan disempurnakan oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi yang turut menyampaikan ucaptama beliau bertemakan Leadership 4.0. Dalam majlis ini juga bakal dilancarkan sebuah buku terbitan MASTI dengan kerjasama AKEPT dan Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM PRESS) bertajuk ‘Kepimpinan Pendidikan Tinggi di Malaysia: Perspektif Pentadbir Universiti’. Buku setebal 273 halaman ini mengandungi 21 buah artikel yang ditulis oleh pentadbir UA yang menyentuh pelbagai tema seperti persatuan, hubungan industri, media, sumber manusia, penyelidikan, perpustakaan dan fasiliti.
Pentadbir Universiti Awam merupakan antara tiga kelompok utama yang menjadi teras dalam kejayaan sesebuah Universiti selain daripada kakitangan akademik dan kakitangan pelaksana. Pentadbir memainkan peranan yang cukup penting sebagai tulang belakang bagi menjayakan setiap agenda pendidikan tinggi negara dan penganjuran Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam amat signifikan dengan realiti semasa.
MASTI yang ditubuhkan pada 2001 kini menaungi secara rasmi sebanyak 20 buah persatuan pentadbir yang terdapat Universiti Awam seluruh negara. Memasuki 17 tahun usia penubuhannya, pelbagai pendekatan dan pembahuruan dilaksanakan bagi meningkatkan imej, wibawa dan profesionalisma Kumpulan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas di UA yang terdiri daripada pentadbir yang mempunyai pelbagai kebitaraan (subject matter expert) sebagai pakar rujuk pentadbiran universiti.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032