KEDAH – Mahasiswa merupakan tunggak utama dalam dunia pendidikan, bukan hanya menjadi agen perubahan, tetapi juga pemimpin masa depan dalam membentuk dan menyuarakan pandangan yang bijak untuk mengatasi isu-isu dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Melalui penyertaan dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bergiat aktif dengan menganjurkan Program “USIM Turun Bendang” antara mahasiswa bersama Komuniti Kampung Telok, Jitra Kedah yang berlangsung pada 19 hingga 21 Januari 2024 baru-baru ini.

Program yang diurus setiakan oleh Institut Sains Islam (ISI) USIM bersama 30 orang mahasiswa yang terdiri dari jurusan perubatan Tahun 3 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pengajian Al-Quran dan Sunnah (FPQS), merupakan satu inisiatif yang melibatkan pelbagai aktiviti untuk memperkasa dan menarik penyertaan komuniti setempat seperti aktiviti saringan kesihatan, pameran, lawatan pesakit uzur, dan sukan rakyat.

Encik Ahmad Yussof Zainal Abidin, pegawai pengiring program berkata, program ini merupakan kolaborasi antara USIM dan Agensi-Agensi Kerajaan di Negeri Kedah, termasuk Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (ICU), Polis Diraja Malaysia Negeri Kedah, Jabatan Perangkaan Negeri Kedah, Pejabat Agama Negeri Kedah, Syarikat Pelancongan Andalusia, Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Lembaga Zakat Kedah, dan beberapa pihak-pihak lain yang terlibat.

“Program ini diharapkan dapat menguatkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat. Malah, ia bukan sekadar pengurusan bersama bersama komuniti, tinggal bersama keluarga angkat, dan gotong-royong, tetapi mahasiswa digalakkan untuk bijak memanfaatkan peluang yang diberikan, termasuk melalui sesi luahan bersama dengan tokoh-tokoh masyarakat yang memiliki pengalaman menangani masalah yang kerap dihadapi oleh masyarakat. Luahan dan perkongsian ini dianggap sebagai saluran penting untuk mendapatkan pandangan dan cadangan yang diperlukan dari mahasiswa“.

Ujarnya lagi, dalam usaha memasyarakatkan mahasiswa, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang dianggap sebagai aspek yang paling penting. Dengan memiliki pengetahuan yang luas, mahasiswa dapat membawa perubahan positif dalam masyarakat dengan melontarkan idea dan pendapat yang realistik, sekaligus mendekatkan hati masyarakat kepada mahasiswa.

Program ini mencakupi pelbagai aktiviti menarik seperti Pameran Agensi-Agensi Kerajaan, Program Temusihat bersama pesakit kronik di rumah warga emas yang dipilih, Program Penyerahan Anak Angkat USIM bersama Keluarga Angkat, Sukaneka Rakyat, dan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak. Program yang paling dinantikan adalah Program Rewang Ubi Telampong, di mana komuniti Kampung Telok dan mahasiswa bergotong-royong menyediakan juadah tradisional.