NILAI, 8 APRIL 2016 – Media memainkan peranan penting sebagai penyalur utama maklumat kepada masyarakat, bukan sahaja berkaitan dasar-dasar kerajaan malah memberi publisiti dan hebahan membabitkan Universiti Awam (UA), tidak terkecuali Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bagi menghargai jasa dan sokongan media cetak dan elektronik kepada USIM, seramai 60 pengamal media dirai dalam Majlis Makan Malam Media 2016 anjuran Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) yang berlangsung di Palm Hotel, Seremban.

Majlis penghargaan yang masuk kali ketiga penganjurannya melibatkan pengamal media dari Bernama, Berita Harian, RTM, TV3, TV9, Kosmo, Harian Metro, New Straits Times, Sinar Harian, Astro Awani, TV Alhijrah, The Star serta Negeri Sembilan Kini.

Objektif utama program adalah bagi meraikan media yang selama ini telah memberikan kerjasama dalam membuat liputan program-program anjuran USIM sejak awal penubuhan.

Naib Canselor berkata program ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada media yang telah banyak memberikan publisiti selain sebagai medium untuk kedua pihak saling mengenali dan beramah mesra.

“Terima kasih tidak terhingga atas sokongan media dalam membuat liputan berkaitan USIM bukan sahaja membabitkan ahli akademik malah aktiviti pelajar,” ujar beliau.

Pada majlis yang sama, StraComm memberi penghargaan kepada pensyarah yang menyumbang  penulisan mereka di dada-dada akhbar serta penyampaian simbolik watikah pelantikan sekretariat StraComm seramai 19 orang yang akan dilatih dalam pelbagai bidang oleh StraComm.

Bagi Wartawan Harian Metro, Pn Ruhaiza Rusmin penganjuran program ini sangat bermakna kerana memberi peluang kepada pihak media untuk mengenali ahli akademik dan pihak pengurusan universiti.

Menurutnya, media dan universiti saling bergantung untuk mendapatkan bahan berita justeru, kerjasama antara kedua pihak ini perlu dikekalkan.

Kehadiran wakil-wakil media ini diraikan bersama Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani, Dekan dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Disediakan oleh:

Nur Athirah Ismail

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204