NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi anak syarikatnya, USIM Healthcare Sdn Bhd, telah melakar satu lagi pencapaian penting dengan perasmian USIM-PNB Rehabilitation & Therapy Centre (URTC) serta sambutan ulang tahun ke-10 Klinik Pakar USIM pada 30 April 2025 baru-baru ini. Majlis bersejarah ini turut diserikan dengan jamuan Hari Raya Aidilfitri bagi mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan, kakitangan, dan masyarakat setempat.

Majlis perasmian yang berlangsung di Astana Srikandi Mini Hall, Nilai Square, Bandar Baru Nilai ini turut mendapat sokongan dan kehadiran Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, serta YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Kehadiran mereka menjadi simbol kerjasama erat antara USIM dan PNB dalam memperkasakan perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk masyarakat.

Dalam ucapan perasmiannya, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani menzahirkan rasa syukur atas kejayaan USIM Healthcare dalam memperluaskan perkhidmatan perubatan dan rehabilitasi. Beliau turut menekankan kepentingan penubuhan URTC sebagai platform menyediakan perkhidmatan terapi dan rehabilitasi bersepadu bagi individu yang memerlukan.

“URTC ditubuhkan bukan sekadar sebagai pusat perubatan, tetapi sebagai sebuah institusi yang memberikan harapan dan peluang kedua kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan yang menyeluruh. Kami berazam untuk terus memperkukuh perkhidmatan kesihatan bagi kesejahteraan masyarakat,” ujar beliau.

USIM Healthcare yang ditubuhkan pada tahun 2014 kini mengendalikan pelbagai operasi seperti Klinik Pakar Kesihatan USIM, Klinik Pakar Pergigian USIM, Pusat Hemodialisis MAINS-PNB-USIM, dan Poliklinik Kesihatan USIM. Dengan sokongan tenaga pakar dari kalangan pensyarah Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan serta Fakulti Pergigian USIM, institusi ini terus berkembang dalam menyediakan rawatan komprehensif kepada masyarakat.

Melihat kepada permintaan yang semakin meningkat, USIM Healthcare telah mengambil langkah proaktif dengan memperluaskan tawaran perkhidmatan melalui penubuhan URTC. Sejak tahun 2022, terapi pertuturan, terapi cara kerja, fisioterapi, kaunseling, dan audiologi telah mula ditawarkan secara temu janji, seterusnya berkembang menjadi pusat rehabilitasi rasmi pada Disember 2024.

Inisiatif ini mendapat sokongan penuh daripada Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM, yang berjaya memperoleh dana sebanyak RM303,785 daripada CSR wakalah zakat PNB bagi pembelian peralatan terapi. Sebanyak 20% keuntungan bersih URTC juga akan disalurkan kepada Tabung Infaq Ibnu Sina bagi membantu pelajar USIM mendapatkan rawatan perubatan.

Majlis perasmian ini turut meraikan sambutan 10 tahun Klinik Pakar USIM, yang telah memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat sejak penubuhannya pada tahun 2014. Dalam tempoh satu dekad ini, USIM Healthcare telah berkembang pesat dengan menawarkan rawatan pakar dalam pelbagai bidang perubatan dan pergigian.

Dengan wujudnya URTC dan pengukuhan perkhidmatan Klinik Pakar USIM, USIM Healthcare kini bersedia untuk menjadi pemimpin dalam industri kesihatan pemulihan, memberikan perkhidmatan yang menyeluruh dari sudut fizikal, emosi, psikologi dan sosial. Pihak pengurusan berharap agar hubungan erat dengan PNB dan PWZ akan terus berkembang dan menghasilkan lebih banyak kerjasama yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Majlis ini diakhiri dengan jamuan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh keakraban, mencerminkan semangat kekeluargaan serta kesatuan dalam memperjuangkan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

 

Oleh: Fakrur Rozi Taufik Annuar