Kota Kinabalu, 5 Ogos 2009 – Filem pendek “Permata Bonda” yang telah dihasilkan oleh pelajar komunikasi USIM jurusan penyiaran, telah memenangi kategori Filem Pendek Terbaik (Anugerah Perdana) di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang berlangsung di Centre Atrium 1 Borneo. USIM menerima hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM 15,000 yang telah diterima Prof. Dr. Naim Hj. Ahmad, pensyarah USIM selaku juri di FFM22 pada malam itu.

Filem pendek berdurasi kira-kira 15 minit ini melibatkan tenaga kerja profesional termasuk pelakon terkenal industri perfileman tanah air seperti Wan Maimunah dan Wan Nor Azlin. Pembikinan filem pendek ini turut mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Dr. Mahadi J. Murad, Pengarah filem terkenal.

Produksi filem pendek ini merupakan lanjutan daripada Bengkel Pengarahan dan Produksi Filem yang dianjurkan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM sekitar bulan November 2008. Bengkel yang dianjurkan khusus untuk pelajar tahun 4 (Jurusan Penyiaran) ketika itu mencetus idea cerita “Permata Bonda”.

Penghasilan filem berteraskan Islam serta penuh dengan nilai-nilai murni merupakan satu langkah yang diambil oleh Program Komunikasi bagi membawa nama USIM di arena perfileman tempatan dan antarabangsa.

Selain dinobatkan Filem Pendek Terbaik FFM ke-22, “Permata Bonda” turut memenangi ‘Audience Choice Award’ dalam pertandingan ASTRO KIRANA SHORT FILM AWARD 08/09 yang berlangsung pada 27 Februari 2009 yang lalu.

Oleh :
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8028