NILAI, 23 Disember 2021 – Pusat Alumni dan Kerjaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima rezeki terpijak apabila menerima sebuah rumah berkonsepkan pejabat yang disumbangkan oleh RPG Education and Training Centre bernilai  RM 130,000.  Rumah berkeluasan 850 kaki persegi ini dibina dengan menggunakan konsep Sistem Binaan Berindustri (IBS) mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan pembinaannya di Mizan Park USIM.

Simbolik penyerahan rumah ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Dr Hj Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM dalam satu majlis pada Rabu. Dinamakan secara rasmi sebagai Rumah Alumni, ia menempatkan  pejabat Persatuan Alumni USIM dan Hub Persatuan Pelajar Fakulti Kejuruteraan Alam Bina untuk merencana pelbagai program bagi merapatkan hubungan alumni dan universiti.

Menurut Encik Asri Husain, Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya USIM, Rumah Alumni pada asalnya merupakan projek binaan di bawah program Kontraktor Rumah IBS (Profesional  Installer IBS X BIM) yang mendapat  geran Kebolehpasaran Graduan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Career Advancement (GE KPT- CAP) 2021.

“Syarikat RPG Education and Training Centre yang berpusat di Seri Kembangan ini dilantik sebagai penyedia latihan program Kontraktor Rumah IBS (Profesional  Installer IBS X BIM) yang disertai seramai 200 peserta yang terdiri daripada pelajar USIM sendiri bersama tujuh Universiti Awam lain iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM), Universiti Teknologi Mara (UITM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT)”, tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Alumni USIM, Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin amat berterima kasih kepada Pusat Alumni dan Kerjaya dan RPG Education and Training Centre atas usaha menyediakan sebuah bangunan yang menjadi pusat sehenti yang kondusif untuk alumni USIM.

“Saya berharap dengan kewujudan Rumah Alumni ini, kerjasama antara pihak USIM dan Persatuan Alumni USIM akan dapat terus diperkasakan lagi dalam pelbagai aspek dalam usaha memantapkan lagi hubungan dan saling membantu antara satu sama lain terutamanya di kalangan para alumni. Selain itu, kewujudan Rumah Alumni ini juga penting kerana ianya menggambarkan pengiktirafan dan penghargaan oleh pihak USIM terhadap para alumni sebagai sebahagian daripada keluarga besar USIM” ujarnya.

Sinergi antara Persatuan Alumni dan Pusat Alumni dan Kerjaya USIM sebelum ini telah memberi impak yang besar kepada universiti antaranya melalui program Wacana Alumni USIM (WASIM), Inspirational Talk, Program Graduan Profesional, mewujudkan enam buah anugerah khas Majlis Konvokesyen, penubuhan Tabung Kebajikan Kebolehpasaran Graduan UI Platinum dan Tabung Kebajikan Alumni.

Rumah Alumni turut mendapat sentuhan para alumni yang turut menyumbang beberapa kelengkapan seperti penghawa dingin, komputer, mesin pencetak dan perhiasan rumah.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan