PULAU PINANG, 21 OGOS 2017 – Novel Research & Innovation Competition 2017 (NRIC) yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) pada pada 15 hingga 17 Ogos lalu membawa kejayaan buat pasukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Daripada 6 penyertaan, USIM mendapat 1 emas, 1 Special Award (Best Presenter Award), 1 perak dan 2 gangsa.

Emas dimenangi oleh produk Double Layered Roof Cooling System Controlled (Technology Engineering Category) manakala Saudari Ainul Husna binti Yusoff menerima Special Award sebagai Best Presenter Award yang membawa pulang piala, sijil dan wang tunai RM 750.

Double Layered Roof Cooling System Controlled merupakan sistem penyejuk yang menggunakan tenaga solar untuk memberi manfaat kepada sesebuah bangunan di mana ia mampu menyejukkan bangunan kepada suhu yang selesa seterusnya mengekalkan suhu selesa setiap masa melalui fungsi automatik sistemnya.

Menurut Ainul Husna, produk ini juga berkeupayaan mengurangkan penggunaan kuasa elektrik kerana sistem tersebut sudah meliputi keseluruhan bangunan berbanding ciri-ciri penghawa dingin sedia ada yang hanya dapat menyejukkan kawasan di mana ia dipasang.

“Produk ini mengambil masa lebih kurang setahun untuk siap direka kerana menekankan aspek mesra alam pada masa yang sama memberi faedah kepada sesebuah bangunan antaranya kepada peghuni rumah, kilang mahupun di kandang ternakan lembu,” tambahnya.

Ainul Husna, 23 tahun merupakan Pelajar Tahun Akhir Fizik Gunaan dari Fakulti Sains dan Teknologi tidak menjangkakan kemenangan itu berpihak kepadanya kerana melihat adanya saingan dari peserta lain dari dalam dan luar negara.

“Alhamdulillah, Hadza Min Fadhli Robbi, semua ini rezeki dari Allah. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada ibu bapa dan ahli keluarga saya yang menyokong saya untuk menyertai pertandingan ini. Juga kepada ahli kumpulan atas kerjasama dan sumbangan idea membentang pada hari pertandingan, pensyarah penasihat, Dr. Mohd Azman bin Hashim @ Ismail yang banyak memberi nasihat dan panduan sebagai persediaan. Tidak lupa kepada para pensyarah USIM dan para pensyarah Fizik Gunaan terutamanya yang sentiasa menyokong,” ujarnya.

Berkongsi resipi kejayaannya, Ainul kerap mengadakan perbincangan bersama ahli kumpulan, dan mengambil input penting semasa menghadiri bengkel persediaan NRIC dan membuat latihan pembentangan kepada ahli keluarga yang dari latar belakang bidang yang lain selain mengadakan latihan bersama rakan kumpulan.

Produk lain yang turut mendapat tempat adalah YAMMEE (Social Transformation and Creative Art Category) memperoleh pingat perak manakala bagi produk Dentolight (Medical and Health Science Category) dan Qalam Khat (Social Transformation and Creative Art Category) memperoleh pingat gangsa. Turut dipertandingkan adalah produk Al-Quran Waterprooof dan Modul Fiqh OKU.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204