SINGAPURA – YBhg Prof. Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima “Award for Outstanding Contribution to Education”, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Asia yang merupakan kali kelapan penganjurannya berlangsung di Le Meridien Sentosa, Singapura semalam.

Dato’ Dr. Zulkiple, 53, antara penerima anugerah tersebut setelah dipersetujui secara bersama di antara Kongres Pendidikan Dunia, CMO Asia bersama Majlis CMO sebagai rakan strategiknya dan Kumpulan ‘Stars of the Industry’ sebagai rakan penyelidik.

Beliau dipilih melalui pencapaian terbaik yang ditonjolkan dari aspek kepemimpinan, inovasi, akademik, dan industri antaramuka yang boleh dicontohi sebagai ‘role model’ di masa hadapan.

Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Asia adalah suatu proses kajian bersepadu yang dilakukan oleh sel kajian terdiri daripada para Siwazah dalam bidang Sejarah dan Pengurusan iaitu lebih 5 tahun pengalaman dalam membuat kajian selepas tamat tempoh belajar.

Antara pencapaian beliau adalah pernah dianugerahkan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S) dengan gelaran Dato’ sempena Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-69 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada Disember tahun lalu.

Beliau juga pernah menerima Pingat Pingat Johan Mangku Negara (J.M.N.) oleh Yang Dipertuan Agong dan pernah menerima anugerah Biasiswa Diraja (1986) malah pernah mendapat pingat emas di 23th International Invention, Innovation and Technology Exhibition (iTEX 12), pingat perak di Expo Inovasi Islam (i-Inova) 2012 and pingat emas dalam pertandingan Research Poster Exhibition UKM 2005 dan 2006.

Dalam khidmat profesional, beliau turut terlibat sebagai Penilai Anugerah Akademik Negara (AAN), Penilai geran-geran penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Ahli Panel Majlis Perunding Islam (MPI) dan Pengerusi Kluster Dasar Dakwah Negara. Beliau pernah menjadi moderator bagi Program Diskusi TV 1 (lebih 50 siri tahun 1999-2000) dan Persada Jurnal (2010) dan pernah dijemput menyampaikan syarahan di hadapan KDYMM Raja Isteri Pangiran Anak Saleha, Raja Isteri Negara Brunei Darussalam (August 24, 2016).

Sumbangan dan penglibatan aktif melayakkannya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2000, 2006 (UKM), Anugerah Pengajar Cemerlang Sains Sosial UKM 2002, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Istimewa 2013, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013, Anugerah Penyelidikan (Kategori Sains Sosial-Penyelidik Terbaik) 2013, dan Anugerah Libatsama Komuniti (Kategori Projek) 2013.

Manakala di USIM, beliau diamanahkan beberapa tanggungjawab iaitu sebagai Ahli lembaga Pengarah Universiti (2012-2015), Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (2012-2015), Ketua Kluster Penyelidikan (Jawhar’Ulum Islamiyyah and Ummah Development) dan Ketua Editor Jurnal ‘Ulum Islamiyyah.

Beliau juga dilantik sebagai Profesor Pelawat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau sebelum itu pernah berkhidmat selama 19 tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (1990-2009) dan pernah menyandang Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan (1997-2003) dan Felo Kanan di Institut Islam Hadhari, UKM.

Seterusnya di bidang penerbitan, beliau pernah menghasilkan 24 buah buku, 32 artikel jurnal di peringkat antarabangsa dan kebangsaan serta menghadiri lebih dari 170 konferen di dalam dan luar negara.