NILAI, 14 DIS 2016 – Pengarah Pejabat Perhubungan Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dikenali sebagai USIM Alamiyyah, Prof Dr Roshada Hashim dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa sejak 1 Disember lalu.

Prof. Roshada, 56, merupakan wanita pertama dilantik memegang jawatan tersebut dipilih bagi menggantikan Prof Dato Dr. Mustafa Mohamad Hanefah yang telah menyandang jawatan tersebut sejak 10 Disember 2010 dan telah tamat tempoh lantikan pada 14 Oktober 2016 yang lalu.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Salford mempunyai pengalaman dalam bidang akademik hampir 3 dekad begitu komited dalam pembangunan mampan akuakultur untuk petani berskala kecil dan sederhana di negara-negara membangun.

Beliau cenderung dalam bidang kepakaran nutrisi ikan, strategi dan pengurusan pemakanan dan biokimia analitikal (Fish Nutrition; Feeding Strategies and Management; Analytical Biochemistry) kerap menerima jemputan untuk menberikan ucapan dasar di persidangan tempatan dan antarabangsa hasil daripada penyelidikan yang dijalankan.

Beliau telah menerbitkan lebih daripada 50 kertas kerja dalam jurnal tinjauan semula setara dalam bidang nutrisi ikan kawasan dan pengurusan pemakanan malah beliau turut membentangkan lebih 30 kertas kerja di persidangan tempatan serta antarabangsa dalam bidang yang sama.

Beliau cenderung untuk melihat pembangunan mampan untuk pendidikan yang lebih tinggi. Kredibilitinya teserlah apabila pernah diberi kepercayaan menerajui dua pembangunan iaitu Pelan Strategik 10 Tahun untuk Pendidikan Siswazah di USM (2010) dan Pengantarabangsaan di USIM (2013). Penglibatan beliau sebagai Pengerusi Penganjur Persidangan Universiti Negara Islam Dunia (World Islamic Countries Universities Summit, WICULS) bermula tahun lepas dan baru-baru ini pada 14 November lalu menunjukkan komited beliau dalam memberikan perubahan kepada landskap Pendidikan Tinggi khususnya dalam dunia Islam.

Beliau juga disegani dengan ketelitian dan amalan disiplin tinggi serta kewibawaannya dalam menjalankan tugas. Oleh itu, beliau berjaya membawa nama USIM Alamiyyah setanding dengan Jabatan lain yang telah lama ditubuhkan di USIM.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204