15 Oktober 2008 – Buat julung kalinya USIM telah menganjurkan pertandingan puisi antarabangsa peringkat  IPTA dan IPTS. Pertandingan Sanggar Puisi ini bertemakan ”Hari Kemenangan” sempena kedatangan bulan Syawal 1429H terbuka kepada pelajar-pelajar yang beragama Islam dan sepenuh masa di IPTA/IPTS. Setiap IPTA/IPTS dibenarkan menghantar satu penyertaan secara berkumpulan Duo atau Trio iaitu gabungan satu pelajar Malaysia dan dua pelajar antarabangsa atau gabungan satu pelajar Malaysia dan satu pelajar antarabangsa. Uniknya pertandingan ini, setiap peserta diwajibkan untuk membacakan puisi di dalam bahasa Melayu.

Sebanyak 5 buah pasukan daripada IPTA dan IPTS dari kejiranan USIM telah mengambil bahagian iaitu UKM, UPM dan Kolej INTI. USIM telah menghantar sebanyak 2 kumpulan iaitu USIM A dan USIM B.

UPM telah muncul juara dalam pertandingan ini dengan puisi bertajuk ”Pagi Yang Syahdu” dimana para peserta terdiri daripada China, Zambia dan Malaysia. Mereka membawa RM500 dan piala iringan. Tempat kedua telah disandang oleh pasukan dari USIM A dan tempat ketiga oleh Kolej Inti yang mana masing-masing membawa pulang RM350 dan RM250 beserta piala iringan. Puisi Terbaik telah dimenangi oleh Pasukan dari UPM dengan membawa pulang RM200 dan persembahan terbaik telah disandang oleh USIM B dengan membawa pulang RM 200 beserta piala iringan.

Pertandingan ini turut menampilkan Ustaz Akhil Hayy sebagai artis jemputan yang menyampaikan lagu ”Di bawah Satu Cahaya” dan ”Sesungguhnya”. Penampilan istimewa YB Senator Tan Sri Jins Samsuddin yang mendeklamasikan puisi nukilan Abdul Ghafar Rabu bertajuk ”Sebening Shawal” dan ”Sedingin Kasih Ramadhan”.

Oleh :
Unit Perhubungan Awam
pro@usim.edu.my