NILAI, 17 April 2019- Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif dengan menzahirkan santunan kepada golongan yang memerlukan menerusi Program Pengisian Petrol Percuma di Stesen Petronas Bandar Baru Nilai petang semalam.

Dengan tema “Sumbangan Anda, Untuk Mereka”, program ini mendapat kerjasama dari Petronas Bandar Baru Nilai, pelajar USIM dan sekitar penduduk Nilai yang tidak melepaskan peluang apabila lebih 300 penunggang motosikal memenuhi ruang Stesen minyak pada petang itu.

”Petrol merupakan satu barangan keperluan asas dalam kehidupan manusia pada masa kini. Program ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan yang memerlukan dan PWZ dapat menyempurnakan hasrat para penyumbang dalam membantu masyarakat”.

“Sebagai penganjur, kita mengharapkan program seperti ini dapat dianjurkan pada setiap tahun bagi menyempurnakan hasrat penyumbang-penyumbang di PWZ dan dapat memotivasi lebih banyak organisasi atau individu menyumbang kepada PWZ bagi membantu kesusahan dan meringankan beban pelajar dan kakitangan USIM dan tidak lupa juga masyarakat setempat. Hasrat PWZ agar lebih banyak organisasi dan individu yang menyumbang pada USIM melalui PWZ supaya lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu”, ujar Dr. Mushaddad Hasbullah, Pengarah PWZ USIM.

Manakala pengusaha Stesen minyak Petronas Puan Mariani Bt Basri berkata, kerjasama program sebegini sangat bagus dan pihak pengurusan sangat berbesar hati kerana terpilih dalam projek CSR serta dapat menjalin kerjasama ini dengan PWZ USIM, dan turut merancang pelbagai program lagi untuk kerjasama lain yang dapat memberi manfaat kepada pelajar USIM.

”Saya dapat tahu program ini dari kawan dan saya berterima kasih kepada penganjur dan berharap dapat anjurkan program seperti ini pada masa akan datang”, jelas Danish Hud Amiruddin, 22, penduduk dari Desa Kasia.

”Berterima kasih kepada USIM kerana anjurkan program sebegini dan sebagai pelajar USIM, saya sangat berterima kasih berharap program ini ada lagi pada masa lain”, Fara Asfarina Mohd Jaafar, 21 dari Taman Desa Anggerik.

Manakala bagi Arham Rahaimi,22 pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM melahirkan rasa bersyukur kerana program ini sangat membantu terutamanya pelajar seperti beliau yang sangat memerlukan bantuan seperti ini untuk kegunaan harian.

Program dirasmikan oleh Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Turut hadir Dr Sofia Hayati Yusoff Timbalan Pengarah PWZ serta pihak pengurusan Petronas Bandar Baru Nilai.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032