NILAI, 1 Disember 2018– Rumah Solar Mizan (MizanHome) yang menjadi wakil tunggal Malaysia dan Asia Tenggara tidak pulang dengan tangan kosong dari Solar Decathlon Middle East (SDME) 2018 apabila dipilih menerima People’s Choice Award. Walaupun tidak berjaya menempatkan diri sebagai tiga rumah terbaik dalam SDME 2018, tetapi dengan anugerah yang diterima ini ia membuktikan bahawa keunikan dan keistimewaan Rumah Solar Mizan telah berjaya menawan hati masyarakat antarabangsa.

Dalam majlis kemuncak yang berlangsung di Tapak Solar Syeikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Dubai pada Khamis, MizanHome diumumkan menerima undian tertinggi iaitu sebanyak 29.1% daripada 32,436 yang mengundi di laman sesawang rasmi SDME 2018. Jumlah undian yang diterima ini sekaligus menewaskan 14 rumah solar lain yang turut bertanding di sana.

MizanHome adalah kolaborasi strategik kepakaran dua buah universiti awam iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai universiti peneraju bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Selain anugerah ini, MizanHome turut menerima wang tunai AED400,000 daripada penganjur sebagai hadiah insentif berjaya menyiapkan rumah solar dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan. Melalui keputusan penuh penjurian yang dikeluarkan penganjur, MizanHome turut berjaya tersenarai sebagai 10 rumah solar terbaik dalam beberapa kategori yang dinilai oleh juri profesional. MizanHome tersenarai dalam empat kategori iaitu Energy Efficiency; Sustainability; Innovation dan Communication.

Dalam pertandingan anjuran Dubai Electricity and Water Authority (DEWA), MizanHome telah mengetengahkan tujuh inovasi menggunakan teknologi terkini iaitu Rekaan Rumah Tiga Lapisan, Teknologi Grey Water System, Pendebat Dinding Organik, Chil Water Storage System, Sistem Tenaga Hibrid, Aplikasi Smart Home dan Inovasi Pembinaan Modular Cage.

Sebanyak 15 buah rumah solar dari pelbagai universiti seluruh dunia terpilih menyertai pertandingan berprestij ini. Para peserta perlu membina sebuah rumah pintar yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar selain perlu disesuaikan untuk menghadapi cabaran musim panas, habuk dan kelembapan yang tinggi di Dubai.

Berada di majlis tersebut bagi meraikan kejayaan MizanHome kerana mengharumkan nama negara adalah Prof Dato Dr Roshada Hashim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM dan Dr. Mohamad Rushdan Hj Azizan, Pengarah Education Malaysia, Konsulat General Malaysia di Dubai.

Disediakan oleh:

Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032