Nilai, 10 Julai 2014 – Pusat Islam dan Jabatan Keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya melaksanakan aktiviti amal sempena bulan Ramadan dengan mengagihkan kira-kira 750 bungkusan bubur lambuk kepada warga USIM di Pintu Pagar Utama tepat jam 4.30 petang tertakluk kepada “siapa cepat dia dapat”.

Pengagihan bubur lambuk merupakan satu pendekatan mesra dianjurkan oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) USIM bagi menghidupkan suasana bulan Ramadan pada masa yang sama tetap berjalan aktiviti sampingan lain seperti tazkirah setiap hari Jumaat serta aktiviti tadarus di kalangan kakitangan USIM.

Aktiviti yang merupakan amalan tradisi Jabatan Keselamatan sejak tahun 2009 dilihat berupaya membentuk jalinan ukhwah yang sihat di antara kakitangan USIM serta rakan PTJ lain. Ketua Jabatan Keselamatan USIM, Kpt (B) Abdul Wahab Mat Zin berkata, aktiviti ini memperlihatkan kesungguhan kakitangan Jabatan Keselamatan yang saling bekerjasama dari awal proses penyediaan bahan mentah, gotong-royong memasak, membungkus bubur lambuk kemudian turut serta bagi sesi pengagihan.

“Budaya inilah yang ingin diterapkan iaitu melakukan aktiviti bersama seperti satu keluarga pada masa yang sama meningkatkan disiplin kakitangan dalam membahagikan tugas hakiki dan tugas sampingan serta mewujudkan keseronokan bekerja di USIM,” tambah Kpt (B) Abdul Wahab.

“Alhamdulillah, aktiviti seperti ini sentiasa mendapat kerjasama dari semua PTJ. Peruntukan penyediaan bahan mentah adalah hasil sumbangan daripada orang perseorangan dan PTJ yang telah dibuat makluman awal mengenai kutipan sumbangan dan sedekah jariah pada 25 April lalu selepas solat Jumaat. Dengan adanya program seperti ini, Pusat Islam berperanan sebagai pusat informasi bagi membantu warga USIM yang ingin memberi sumbangan dan menyalurkan sumbangan tersebut ke saluran yang tepat,” ujar Pengarah Pusat Islam, Dr. Wan Abdul Fattah Wan Ismail.

Aktiviti yang mendapat sokongan penuh daripada Pengurusan Tertinggi USIM akan diteruskan sehingga minggu akhir Ramadan yang mana bubur lambuk akan turut menjadi juadah utama semasa Majlis Berbuka Puasa Perdana USIM yang akan diadakan pada 16 Julai 2014 di Dewan Besar USIM.

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil

Penolong Pendaftar StraComm