NILAI, 22 Februari 2017 – Album Al- Fatihah 7 Taranum, Album Selawat Kontemporari, Album Puisi Islamik Berikan Sakti dan Buku Koleksi Poket Pantun merupakan empat produk seni Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dilancarkan di Panggung Seni, Bangunan Hal Ehwal Pelajar oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr Musa Ahmad.

Pelancaran album tersebut sebagai salah satu strategi untuk melebarkan kreativiti seni yang dijangka bakal memenuhi keperluan pasaran industry seni menampilkan penglibatan pelajar USIM dan beberapa penggiat seni tanah air antaranya Hafiz Hamidun, Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa) dan Ahmad Fedtri Yahya.

Dato’ Musa dalam ucapannya menyatakan rasa bangga dengan adanya tersebut secara tidak langsung memperkenalkan produk seni USIM kepada warga universiti dan masyarakat luar serta mampu meningkatkan pendapatan USIM.

“Saya melihat penganjuran sebegini sebagai satu strategi proaktif oleh Pusat Kebudayaan USIM yang mana boleh dijadikan sebagai contoh kepada universiti lain tentang bagaimana pelaksanaan aktiviti kebudayaan dijalankan di USIM,” ucap Naib Canselor USIM.

“Pusat Kebudayaan USIM merupakan satu-satunya yang berada di pesta buku, satu perkara yang amat membanggakan kerana penglibatan pelajar USIM dalam aktiviti kebudayaan begitu menggalakkan,” ucap En Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan.

Turut hadir adalah Datuk Mohd Hassan Mohd Nor, Penolong Ketua Pengarang Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Tan Sri Dato’ Dr Nordin Kardi, Naib Canselor Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) serta penggiat seni tempatan seperti Nash dan Fauzi Marzuki.

Album Al Fatihah 7 Taranum menampilkan Ikon Seni Husaini Mahmur yang melagukan Surah Al Fatihah dengan 7 jenis taranum iaitu Bayati, Nahwan, Hijaz, Rast, Sikah, Jiharkah dan Soba. Menampilkan 7 jenis bacaan mengikut taranum bertujuan mendidik masyarakat untuk mengetahui perbezaan taranum dan surah Al Fatihah dipilih kerana surah ini sentiasa menjadi pilihan dan amalan kepada masyarakat. Album ini sesuai dimiliki oleh semua lapisan masyarakat sebagai panduan untuk mengenali jenis taranum yang dijual dengan harga RM10.00.

Album Selawat Kontemporari merupakan album selawat oleh pelajar USIM yang diberi nafas baharu menampilkan Hafiz Hamidun, mengandungi 7 lagu selawat kontemporari yang bersifat universal muziknya dengan penggunaan pelbagai alat perkusi dari pelbagai negara yang dijual dengan harga RM15.00.

Album Lagu Puisi Islamik Berikan Sakti menampilkan 9 lagu puisi yang mempunyai mesej kepada komuniti. Lirik lagu dalam album ini ditulis sendiri oleh En Ismail Ahmed atau Adiwangsa Sukma, dinyanyikan sendiri serta turut berduet dengan Karyawan Seni USIM, Siso Kopratasa. Album ini dijual dengan harga RM15.00, dan sejumlah 25% daripada jualan album ini akan disalurkan kepada HKL Kids Kanser.

Buku Koleksi Poket Pantun mengandungi 123 pantun koleksi adalah sebuah inovasi karya seni yang segar untuk mendampingi masyarakat melalui sastera pantun hasil Karyawan Seni USIM Ahmad Fedtri Yahya dan Siso Kopratasa. Buku ini sesuai untuk kegunaan masyarakat khususnya bagi mereka yang sentiasa mennghadiri majlis seperti majlis rasmi, pertunangan dan perkahwinan, korporat dan istimewanya terdapat pantun berkaitan ubatan tradisional dan menunaikan Umrah dan Haji. Ia dijual dengan harga RM10.00.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204