NILAI, 30 MEI 2016 – Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima seramai 909 pelajar baharu pra-universiti, Tamhidi atau Matrikulasi/ Asasi bagi sesi akademik 2016/2017 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM semalam.

USIM menerima sebanyak 31,453 permohonan menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu. Daripada jumlah tersebut sebanyak 1,172 permohonan memilih USIM sebagai pilihan pertama daripada tempat yang ditawarkan sebanyak 2,149 tempat.

Pusat Tamhidi USIM yang menawarkan lima program pengajian merekodkan Program Tamhidi Sains dan Teknologi menerima pendaftaran pelajar paling tinggi iaitu sebanyak 356 pelajar diikuti Tamhidi Perakaunan dan Muamalat sebanyak 202 pelajar, Tamhidi Syariah dan Undang-undang sebanyak 139 pelajar, Tamhidi Perubatan sebanyak 129 pelajar dan Tamhidi Pergigian sebanyak 83 pelajar.

Seramai 280 pelajar lelaki dan 629 pelajar perempuan yang mendaftar tahun ini adalah mewakili pecahan mengikut negeri yang mana Selangor mencatat angka pelajar mendaftar paling tinggi iaitu seramai 162 pelajar diikuti Kelantan seramai 145 pelajar seterusnya Terangganu seramai 123 pelajar. Malah, tahun ini USIM turut menerima pelajar dari Thailand seramai 3 pelajar (2 lelaki dan 1 perempuan).

“Alhamdulillah, proses pendaftaran berjalan lancar dalam keadaan kondusif dan efisien oleh urusetia dan pengurusan. Saya mengharapkan agar pelajar baharu ini dapat mengekalkan kecemerlangan dalam bidang akademik disamping menggalakkan teruskan bergiat aktif dalam kegiatan ko-kurikulum dan hafazan al-Quran. Dengan ini, hasrat USIM untuk melahirkan generasi profesional muslim yang berkualiti dari pelbagai bidang pengajian sama ada sains, syariah, perubatan, pergigian atau perakaunan mampu dicapai,” ujar Dr. Mohamed Akhiruddin Ibrahim, Pengarah Pusat Tamhidi USIM.

Menurut bekas pelajar cemerlang (SPM 11A) dari  SMK Agama Yan, Kedah, Nurin Hannani Musoddak, 18, USIM menjadi pilihan kerana telah maklum akan suasana pembelajaran dan pengajaran di USIM menepati Syariah serta kagum dengan kehebatan pencapaian pelajar USIM yang disampaikan oleh senior-senior yang kini menuntut di USIM. Memilih Program Tamhidi Perakaunan dan Muamalat sebagai pilihan pertama bercita-cita menjadi seorang pakar ekonomi terulung satu hari nanti.

Bekas pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN) mengakui antara asbab memilih USIM adalah kerana ITQAN merupakan antara sekolah angkat USIM. “Program Tamhidi Syariah dan Undang-undang menjadi pilihan kerana saya mahu mengejar cita-cita sebagai seorang hakim disamping mempelajari aspek-aspek perundangan Islam,” ujar Fakhrun Naim Yazid (7A), 18 dari Kuala Pilah Negeri Sembilan.

Antara ahli keluarga yang ditemui menyatakan sokongan penuh atas pilihan anaknya bagi melanjutkan pelajaran Program Tamhidi Syariah dan Undang-undang di USIM. En Abdul Aziz Latif, 52 dari Kemaman, Terengganu pertama kali datang ke USIM menyedari kelebihan yang ada pada USIM berbanding Universiti Awam yang lain. Beliau menyatakan mengenali USIM melalui kenalan dan saudara malah sentiasa melawat laman web USIM untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan USIM.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204