Bandar Baru Nilai, 19 Ogos 2010 –  Hampir 100 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai program pencarian juruhebah radio USIM. Pencarian ini bertujuan untuk mencari bakat-bakat baru disamping menjadi platform buat pelajar-pelajar dalam mempamerkan bakat mereka sebagai juruhebah.

Menurut En. Muhamad Zaki Mustafa, pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) merangkap Penyelaras Radio USIM, pencarian juruhebah radio ini merupakan kali ketiga dianjurkan dan merupakan program tahunan.

“Sebelum ini kami telah mengadakan program jelajah fakulti untuk pencarian bakat baru disamping mempromosikan radio USIM kepada semua warga USIM”.

“Ini kerana ramai yang beranggapan bahawa radio USIM  hanya terhad untuk Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan sahaja sedangkan ianya terbuka kepada semua warga USIM yang berminat untuk menjadi juruhebah”, tambah Muhamad Zaki lagi.

“Antara kriteria penting untuk menjadi seorang juruhebah adalah mempunyai minat, bakat dan gaya tersendiri. Suara memainkan peranan yang penting untuk menjadi juruhebah radio”, kata Muhammad Zaki.

Radio USIM merupakan satu-satunya stesen radio yang terdapat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bernaung dibawah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP). Radio USIM beroperasi dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Sebelum ini stesen radio USIM ini telah beroperasi secara percubaan dari bulan Januari 2009. Kini, stesen radio kampus ini telah menjadi stesen radio digital tercanggih di kalangan IPTA/IPTS. Membawakan liputan langsung secara online streaming menerusi Http://radio.usim.edu.my dan menawarkan beberapa bentuk program serta wawancara secara interaktif kepada pendengar. Ia juga menampilkan ulasan berita utama mengenai USIM serta hebahan terkini kepada warga USIM.

Salah seorang peserta, Munirah Mazlan, 20, Pelajar tahun 2, Fakulti Sains Teknologi (FST) berkata beliau terpanggil untuk menguji bakat sebagai juruhebah atas ajakan kawan-kawan.

“Saya sangat gemuruh dan teruja kerana ini merupakan kali pertama saya diuji bakat sebagai juruhebah. Disamping itu program sebegini dapat menerapkan keyakinan pada diri sendiri, tambah Munirah lagi.

Salah seorang juruhebah radio USIM, Nurul Ain Idris, Pelajar tahun 2, FKP memberi beberapa tip untuk menjadi seorang juruhebah yang baik.

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai juruhebah Radio USIM, seorang juruhebah perlu mempunyai keyakinan dan pengetahuan yang tinggi tentang isu-isu semasa. Disamping itu perlu kerap membuat latihan bercakap terutama di depan cermin supaya lebih yakin dan dapat menarik minat pendengar”, kata Nurul Ain lagi.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028