Indonesia, 30 Mei 2011 – Seramai 17 orang pelajar termasuk tiga orang jurulatih dan penasihat debat Bahasa Arab Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai lawatan antarabangsa ke Indonesia bagi memperkenalkan Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat IPT Asean di beberapa Universitas Islam yang terdapat di sana.

Lawatan selama 7 hari bermula 23 Mei sehingga 29 Mei 2011 itu merupakan anjuran Kelab Debat USIM  dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) . Antara universitas yang dilawati ialah Universitas Muhammadiyah Jakarta, Universitas Al-Azhar, dan Universitas Islam Nusantara.

Menurut pengarah program, M. Syamsul Anam bin Qamarul Huda “Antara objektif kami mengadakan lawatan seperti ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara pihak USIM dengan universitas-universitas Islam di Indonesia disamping memperkenalkan Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat IPT Asean yang akan di adakan di USIM pada bulan September ini.”

Simulasi debat bahasa arab turut diadakan bagi memberi gambaran cara perdebatan ala Parlimen Malaysia. Selain  itu, penerangan tentang peranan setiap pendebat, syarat-syarat perdebatan dan syarat-syarat penyertaan turut disampaikan oleh Dr. Ahmad Pangidoan Nasution. Sesi soaljawab turut diadakan bagi menjawab segala kemusykilan dikalangan pelajar.

Ketika berada di Universitas Islam Nusantara Bandung, delegasi USIM disambut meriah oleh pihak universitas tersebut. Selawat dan iringan paluan kompang dialunkan ketika menyambut kedatangan mereka di sana.

“Kami berasa sangat terkejut dan terharu dengan sambutan yang diberikan oleh pihak Universitas Islam Nusantara” kata Nor Kamalia Baharum, salah seorang peserta program lawatan Rehlah Nusantara.

Tambah beliau lagi, selepas acara simulasi debat dan penerangan mengenai debat Asean berakhir, satu sesi ramah mesra bersama Rektor (Canselor) turut diadakan. Akhir sekali, beliau berharap semoga kejayaan Program Rehlah Nusantara ini akan memberi kesan kepada universitas-universitas yang telah dilawati untuk turut sama memeriahkan dengan menyertai Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat IPT ASEAN yang akan diadakan di USIM pada September ini.

Oleh:
Muhamad Taufik Bin Abu Bakar