PENGENALAN

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) merupakan satu perjanjian perdagangan bebas multilateral yang sedang dibincangkan oleh dua belas (12) buah negara termasuk Malaysia. TPPA berbeza dengan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) biasa kerana ia lebih menyeluruh dengan tambahan skop seperti perolehan kerajaan, buruh, alam sekitar, syarikat-syarikat milik kerajaan dan hak harta intelek.

PENDIRIAN USIM MENGENAI ISU TPPA

Hasil daripada perbincangan meja bulat anjuran Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM yang melibatkan ahli akademik USIM (profesor dan pensyarah kanan)  yang arif dalam bidang ekonomi yang dijemput khas bagi sesi ini, beberapa pendirian dan cadangan telah diputuskan seperti berikut:

  1. TPPA akan memberi kesan yang positif kepada perdagangan di mana ianya akan menyumbang peningkatan pertumbuhan ekonomi mampan.
  2. TPPA juga akan menyumbang ke arah peningkatan rakan-dagang baharu dan membuka pasaran baharu kepada pengilang dan pengeksport Negara termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
  3. TPPA juga dijangka akan memberi kesan positif kepada mobiliti modal dan sumber manusia.
  4. Walau bagaimanapun, TPPA boleh memberi kesan jangka panjang yang memerlukan kajian menyeluruh dalam Faedah Berbanding (Comparative Advantage) dengan industri, elektrik dan elektronik (E&E), kayu kayan, tekstil, bahan kimia dan barangan berasaskan komoditi.
  5. Implikasi jangka panjang TPPA kepada Industri Kewangan Islam dan Industri Halal yang diterajui oleh Malaysia perlu diteliti sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
  6. Kepentingan negara dan kebajikan rakyat dalam memenuhi Maqasid Syariah dari sudut ekonomi seperti perolehan kerajaan, hak bumiputera dalam mendapat kontrak perniagaan dan kedudukan perundangan Islam yang berkait dengan perdagangan antarabangsa serta industri Kewangan Islam perlu dipelihara terutama apabila berlaku konflik perundangan antarabangsa.

KESIMPULAN

USIM menyokong semua usaha Kerajaan yang akan membawa kepada kemakmuran dan kestabilan ekonomi negara. Namun bagitu, Kerajaan perlu bersedia dengan kajian yang teliti dan mengambil kira semua aspek, kesan positif dan negatif sebelum pemeteraian TPPA.

Islam menganjurkan pengabdian manusia kepada Allah s.w.t. dalam urusan sosio-ekonomi bertujuan untuk membimbing manusia ke arah mencapai keharmonian dan kecemerlangan bermasyarakat. Salah satu prinsip asas ekonomi Islam ialah untuk memastikan sosio-ekonomi yang mengarah kepada wujudnya al-Adl wal Ihsan (keadilan dan kasih sayang). Allah s.w.t. berfirman dengan maksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berbuat adil dan kebajikan, memberi pertolongan kepada manusia, serta melarang dari berbuat yang keji, pekerjaan yang mungkar dan kezaliman. Dia memberi kamu pengajaran, mudah-mudahan kamu mendapat peringatan”. (An-Nahl: 90)

Keutamaan dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan TPPA perlu berpaksikan kepada prinsip al-Adl wal Ihsan yang memberikan keutamaan kepada keadilan dan kesaksamaan masyarakat (justice and equity).

PROFESOR DATO DR. MUSA AHMAD
Naib Canselor
Universiti Sains Islam Malaysia