NILAI, 22 September 2021 – Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi tahun 2021 melabuhkan tirainya dengan pelancaran perasmian penutup oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Madya Dr Mohd Rushdan Jailani secara dalam talian facebook USIM TV.
Prof. Madya Dr Mohd Rushdan Jailani menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar selaku urus setia Sambutan Bulan Kebangsaan USIM 2021 serta kerjasama pelbagai Pusat Tanggungjawab dan Majlis Perwakilan Pelajar.
“Mensyukuri nikmat merdeka hendaklah dibuktikan dengan hati dan jiwa, dilafazkan melalui lidah dan dipraktikkan melalui tindakan ke arah menjadikan Malaysia aman, makmur dan sejahtera. Mengisi kemerdekaan dan mengekalkan kemerdekaan juga menjadi tanggungjawab masyarakat dan rakyat di negara ini terutama dalam kalangan generasi muda. Generasi muda perlu sentiasa bersiap sedia menjadi ahli masyarakat yang boleh berfungsi dengan baik sekali gus memberi impak positif kepada komuniti. Kita berjuang dengan cara kita iaitu membantu sesama kita, rakyat Malaysia, dalam memerangi pandemik COVID-19 yang melanda. Ingat, kita masih belum menang. Teruskanlah perjuangan ini dan jangan pernah berhenti selagi kita belum merdeka daripada pandemik COVID-19 ini demi kesejahteraan semua”, ujar Prof Rushdan.
Majlis Bacaan Yasin Perdana dan Doa Selamat turut diadakan pada Hari Jumaat lepas bagi mendoakan keamanan, keharmonian dan kemajuan untuk negara tercinta.
Majlis Penutup turut mengumumkan pemenang pertandingan sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan. Bagi pertandingan Ekspresi Merdeka USIM iaitu sebanyak 44 penyertaan dari kalangan staf dan pelajar yang telah memenangi Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM250, Naib Juara RM150 Tempat Ketiga RM100 dan Saguhati RM50.
Manakala bagi Pertandingan Menulis Puisi Patriotik Johan disandang oleh Mustaffa Siraj dengan tajuk puisi “Dirgahayu Ranah Berdaulat”. Naib Johan disandang oleh Ismail Hashim, tajuk puisi Debu-debu Berterbangan dan Tempat Ketiga disandang oleh Mohd Efandi Md Yusup, tajuk puisi Harum Merdeka di Halaman Kasih.
Majlis penutup turut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi oleh Intan Aika Amir Azhari dari Kelab Seni Budaya yang juga merupakan Johan Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sembilan 2020 bertajuk Dirgahayu Ranah Berdaulat hasil karya Mustaffa Siraj.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan