NILAI, 10 April – Selepas mencuba dalam beberapa edisi sebelum ini, akhirnya para pendebat Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Tengku Ampuan Jemaah, Selangor tersenyum puas dan gembira apabila muncul Johan Pertandingan Debat Bahasa Arab Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Kali ke-6 dan Jemputan Nusantara 2013.

Membariskan pendebat yang terdiri daripada Abdul Wafi Ismail, Muhammad Khairul Fawwaz Mat Taib, Muhammad Nazri Rostam dan Amir Azman, melayakkan mereka membawa pulang Piala Pusingan, Wang Tunai RM 2,000.00, Piala Iringan Sekolah dan Pendebat serta Sijil Penghargaan.

Memperdebatkan usul “Penggunaan Telefon Pintar di Kalangan Pelajar Memberi Faedah” bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3, USIM menjadikan SAMT Sultan Hisamuddin, Selangor berpuas hati muncul Naib Johan dengan membawa pulang Piala Iringan Sekolah dan Pendebat, Wang Tunai RM 1,000.00 dan Sijil Penghargaan.

Majlis Penutup dan Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Haji Wan Ramdzan Wan Mamat, Timbalan Pengarah Pengurusan Institusi Pendidikan Agama, Bahagian Pendidikan Islam bersama YBhg. Profesor. Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Kemampuan berbahasa sebenar-benarnya adalah kemampuan berbicara dan berkomunikasi dalam bahasa berkenaan. Sememangnya ini menjadi cabaran dalam pembelajaran mana-mana bahasa sekalipun”

“Sesungguhnya saya melihat kemahiran berbahasa Arab sebagai satu nilai tambah yang besar untuk anak-anak murid kita yang bakal bersaing dalam dunia global tanpa sempadan pada masa akan datang” kata beliau dalam ucapan perasmiannya.

Pertandingan ini merupakan signature programme kepada Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sejak tahun 2008 lagi. Manakala bermula tahun 2012, penyertaannya dikembangkan dengan diwujudkan kategori Jemputan Nusantara melibatkan sekolah dari Malaysia, Brunei Darusslam, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Dengan hasrat murni untuk menyemarakkan penggunaan dan penguasaan Bahasa Arab di kalangan murid sekolah menengah, penganjurannya saban tahun memperlihatkan penyertaan sekolah bersama teknik dan kualiti pendebat semakin cemerlang.

Bagi kategori Jemputan Nusantara, Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) yang mewakili Malaysia berjaya muncul johan menewaskan Madrasah Aljuneid Al Islamiah, Singapura.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)