NILAI, 30 Mei, 2017 – Bertepatan dengan kemuliaan di bulan Ramadan, pada 4 Ramadan 1438H, Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan isterinya Puan Sri Masrah Abidin telah melawat bangunan baru Surau yang terletak di perkarangan diplomatik di Kedutaan Besar Filipina, No.1 Jalan Changkat Kia Peng, Kuala Lumpur.
Mewakili Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Musa Ahmad, pihak pengurusan, fakulti dan seluruh kakitangan USIM; Tan Sri Dzulkifli dan Puan Sri Masrah telah menyampaikan sumbangan berbentuk Surah Yasin, buku-buku agama, sejadah, telekung untuk muslimah dan sebagainya termasuklah wang tunai yang bagi tujuan keselesaan pengguna surau di kedutaan itu. Sumbangan itu telah disampaikan kepada Konsul Johann Andall dan AttaseShamina Saidamen bagi pihak Pengerusi dan seluruh jemaah Surau.
Surau ini adalah suatu bangunan baru yang didirikan bersebelahan bangunan Canselori Kedutaan yang telah dirasmikan oleh mantan Duta Besar J. Eduardo Malaya pada 4 April 2017 yang lalu, selepas tamat perkhidmatan beliau selama lima tahun setengah di Malaysia. Pembinaan surau itu sesungguhnya merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan kerana buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun, para diplomat, kakitangan, tetamu dan pelawat Muslim mempunyai tempat yang selesa untuk menunaikan solat pada waktu pejabat.
Di dalam ucapan ringkas semasa menyampaikan sumbangan USIM kepada para diplomat Kedutaan Filipina, Tan Sri Dzulkifli berkata, “Sedekah ini bukanlah hanya dijalankan sekali sahaja oleh warga USIM. Sebaliknya, Kami meanggap Surau sebagai Anak Angkat USIM. Kami juga akan membekalkan bahan-bahan bacaan tentang Islam dari semasa ke semasa dan penganut bukan Islam juga bebas untuk meminjam dan membacanya. Surau ini sesungguhnya akan menghubungkan komuniti di Kedutaan Filipina dengan USIM demi untuk meningkatkan ilmu dan mengeratkan jalinan hubungan bagi mewujudkan keamanan global.”
Turut hadir ke majlis bersejarah itu ialah Mantan Duta Besar Libya di Malaysia, Dr. Bubaker Almansori dan Dr. Haji Zulkifly Baharom, Ketua Pegawai Eksekutif, Sejahtera Leadership Initiative.
Disediakan oleh:
Dr. Zulkifly Baharom
Ketua Pegawai Eksekutif Sejahtera Leadership Initiative