Nilai, 15 Julai 2009 – Seperti tahun-tahun sebelumnya, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM buat kali ketiga menganjurkan Seminar Makanan Halal 2009 (HaFoS’09) bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3, USIM. Seminar yang berlangsung pada 14 hingga 16 Julai ini adalah dengan kerjasama Biro Korporat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Seminar yang berlangsung selama tiga hari ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Hj. Razak bin Mansor, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan mewakili Y.A.B. Menteri Besar Negeri Sembilan. Turut hadir Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim, Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) merangkap Pengerusi Biro Korporat DPIM dan Presiden & Ketua Eksekutif Perbadanan Johor.

Hampir 30 penyertaan pameran daripada mahasiswa/i IPTA/S, pengusaha Industri Makanan, agensi kerajaan dan swasta telah menyertai pameran sempena dengan Seminar ini. Antaranya adalah KFC Holdings, FAMA, Jabatan Pertanian, PruBSN Takaful dan MARDI. Pelbagai aktiviti telah diadakan di tapak pameran seperti pemeriksaan kesihatan dan BMI oleh Pusat Kesihatan USIM, dan belajar resepi diet sihat yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Lebih 15 kertas kerja telah dibentangkan. Antara tajuk yang dibentangkan adalah “Halal From Business Jihad Perspectives’ yang telah dibentangkan oleh Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim. Selain itu turut diadakan forum ‘Role of Various Institutions in Malaysia on Halal Issues’ yang mana ahli panelnya terdiri daripada wakil Kementerian Kesihatan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Y.Bhg. Dato’ Dr. Ma’amor B. Osman.

Antara objektif seminar ini adalah memberi ruang dan peluang kepada para pelajar dan pihak industri bagi memahami dan mengetahui perkembangan penggunaan serta penghasilan produk halal terkini. Di samping itu meningkatkan kesedaran tentang hak-hak kepenggunaan dan kepentingan makanan halal di kalangan masyarakat Muslim khususnya.