Nilai, 24 Jun – Usahasama antara Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tercapai melalui penganjuran Seminar Penyalahgunaan Dadah “Way Forward” sempena Hari Antidadah Antarabangsa 2014.

Penganjuran kali ini merupakan titik tolak kepada usaha di antara pihak USIM dan AADK untuk memantapkan lagi kesedaran semua pihak akan bahaya dan ancaman dadah. Selaras dengan matlamat ini, ACREDA berperanan sebagai satu pusat kecemerlangan untuk membantu negara melalui aktiviti-aktiviti akademik dan kemasyarakatan seperti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan isu-isu penyalahgunaan dadah.

“Usaha-usaha rawatan dan pemulihan dadah perlulah sentiasa dilakukan dengan amalan rawatan terbaik yang menekankan konsep pemulihan dadah yang bersifat menyeluruh (holistik). Saya melihat usaha membanteras serta memerangi penyalahgunaan dadah ini tidak boleh dibuat secara perseorangan sahaja atau oleh agensi tertentu tetapi hendaklah dibuat secara menyeluruh oleh anggota masyarakat dan menganggap ia sebagai satu tanggungjawab bersama,” ucap YBhg Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad.

“Menyedari permasalahan dadah yang semakin meruncing, AADK telah melaksanakan pendekatan baharu iaitu pendekatan pencegahan berfokus. Pendekatan pencegahan berfokus dirangka berdasarkan maklumat profiling kawasan melalui kaedah Geographic Information System (GIS).  Melalui kaedah ini, skop kawasan sasaran telah diklasifikasikan kepada  Kawasan Umum, Berisiko dan Berisiko Tinggi. Program pencegahan yang dirangka adalah lebih berfokus kepada kawasan dan kumpulan sasar supaya menjurus kepada keperluan sesuatu komuniti dan kawasan,” ujar YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam ucapannya.

Melalui seminar ini, USIM dan AADK berharap agar satu resolusi serta dapatan yang baru dapat dihasilkan agar persepsi umum mengenai kesan dan bahaya dadah dapat dipertingkatkan bagi membina satu gerakan atau desakan agar semua pihak bercakap mengenai dadah dan kesannya. Perkara ini perlu dipandang serius kerana masyarakat perlu menyedari bahawa dadah ada di mana-mana dan setiap orang atau ahli keluarga mereka berisiko untuk terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Hadir sama adalah Ketua Pengarah AADK, YBhg. Tuan Hj. Suhaimi Abdullah dan Pengurusan Tertinggi USIM serta tetamu jemputan dari AADK.

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil

Penolong Pendaftar StraComm