KUALA LUMPUR, 25 JUN 2016 – Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Urusetia Perlindungan Perubatan pelajar (U3P) dengan kerjasama Anjung Singgah telah menganjurkan Program Sinar Kasih Ramadhan bersama masyarakat gelandangan di Kuala Lumpur.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan memberi juadah sahur kepada mereka yang tinggal bergelandangan di sekitar Anjung Singgah, Masjid Jamek, Pudu Raya dan Central market.
Pengarah program, Dr. Asep Budirachman berkata seramai 70 orang sukarelawan telah mengedarkan sebanyak 350 bungkusan juadah sahur dan 50 unit hygiene kit yang terdiri dari sabun mandi, ubat dan berus gigi kepada masyarakat gelandangan. Program ini turut mendapat janaan hasil sumbangan daripada kakitangan USIM,” katanya di sini.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk terus memberi bantuan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan berharap program itu akan berterusan bukan sahaja di bulan Ramadan, malah di masa akan datang.
Sementara itu, pelajar Fakulti Syariah Undang-Undang Mohamad Zakuan Roszali (24) berkata program itu wajar dilakukan serta memberikan beliau pendedahan mengenai realiti penghidupan golongan gelandangan.
“Sering kali pelajar tidak bersyukur dengan apa yang diperolehi sekarang, malah sebenarnya kita perolehi lebih daripada kita perlu. Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada diri saya mengenai kepayahan hidup dan bersyukur dengan apa saya ada,” katanya.
Rakannya, Mohd Saiful Amri (24), FPQS (USIM) berkata program tersebut adalah satu cara untuk menyelami kehidupan dari seseorang peminggir kota serta mengeratkan silatulrahim antara siswa, pentadbiran Pusat Kesihatan Universiti dan pengurusan Anjung Singgah.
“Program sebegini diharapkan berterusan bukan sahaja di sekitar Kuala Lumpur malah di diluaskan di kawasan lain agar bantuan disampaikan secara adil kepada pihak yang memerlukan,” katanya.
Disediakan oleh:
Pusat Kesihatan Universiti
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204