SEREMBAN, 24 Mac 2017-  Pasukan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diumumkan sebagai juara pertandingan ASPA Challenge 2017 pada Hari Ulang tahun Pertahanan Awam yang ke – 65 peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Dewan Besar Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan ( APMNS).

Pasukan Kor Sispa USIM telah berjaya menewaskan 8 Pasukan dari PDPA Negeri Sembilan yang lain dengan catatan masa 45 minit 47 saat sekaligus mendahului pasukan lain.

ASPA Challenge adalah singkatan kepada cabaran Anggota Sukarela Pertahanan Awam. Pertandingan ASPA Challenge ini diadakan pada hari khamis 23 Mac 2017 dan disertai oleh tujuh daerah iaitu Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Seremban, Port Dickson, Tampin, Jelebu, Kuala Pilah, Jempol, Rembau, dan dua Pejabat Unit Pertahanan Awam (PUPA) Gemas dan Unit Nilai (SISPA).

Menurut Ketua Penganjur pertandingan ASPA Challenge 2017, Leftenant (PA) Abdul Ba’ith bin Abdul Rahim berkata, pertandingan ini dibahagikan kepada empat check point. Pertandingan ini dilaksanakan bagi menguji tahap kecekapan dalam melaksanakan beberapa kemahiran asas menyelamat dan juga menguji ketahanan fizikal para peserta untuk menamatkan cabaran dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Setiap pasukan perlu menghabiskan keempat-empat cabaran dalam masa 60 minit. Pasukan yang berjaya menghabiskan cabaran- cabaran di bawah catatan masa 60 minit akan menerima plat “FINISHER” dan pasukan yang mencatat masa terbaik akan membawa pulang plat “WINNER”, katanya lagi.

Bersempena sambutan Majlis Hari Ulang tahun Pertahanan Awam yang ke – 65 yang dilangsungkan di Dewan Besar Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan, Pasukan Kor Sispa USIM telah menerima plat “WINNER” sebagai simbolik kemenangan yang disampaikan oleh Pengarah APM Negeri Sembilan, Left. Kolonel (PA) Kamal Mokhtar selaku juara ASPA Challenge 2017.

 

Disediakan oleh:
Noor asmathirah binti anuar

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204