NILAI, 6 April 2017 – Seramai empat orang pendebat Bahasa Arab Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membawa nama Universiti dan negara ke Kejohanan Debat Bahasa Arab Universiti Peringkat Antarabangsa (IUADC) di Qatar bermula 8 hingga 12 April 2017 ini. Kejohanan selama enam hari ini bakal berlangsung di Qatar National Convention Center, Doha.
Pendebat Bahasa Arab USIM dibarisi oleh Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, 21; Anis Amirah Zakaria, 24; Nur Akma Mohd Dali,24; dan Muhammad Syafiq Suhaimi, 23. Mereka merupakan para pelajar jurusan Undang-undang dan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.
Kumpulan pendebat ini telah berlepas ke Doha, Qatar pada awal pagi tadi (6 April 2017) bersama Encik Ahmad Norsyafwan Norwavi, pensyarah Bahasa Arab USIM yang merupakan jurulatih kepada pasukan ini.
“Persiapan bagi menghadapi kejohanan penting ini telah bermula sejak sebulan lalu iaitu latihan debat intensif secara individu dan berkumpulan, pembacaan dan kajian isu semasa dalam dan luar negara dan pemantapan penguasaan Bahasa Arab. Kita juga mengadakan beberapa siri perlawanan debat persahabatan dengan para pendebat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universitas Islam Negeri (UIN) Malik Maulana Ibrahim, Indonesia”.
“Selain itu, kita juga mendapatkan panduan dan pandangan teknikal dari jurulatih luar yang terlibat secara langsung dalam IUADC serta menganalisis video-video perlawanan debat sebelum ini.” ujar Muhammad Syafiq
Pasukan debat USIM kini berada dalam prestasi dan moral terbaik apabila muncul johan Debat Bahasa Arab dalam Pertandingan Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi ASEAN pada Isnini lalu (3 April 2017) di Kampus USIM selepas menewaskan pasukan debat UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta Indonesia.
Sebagai juara, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM 4000.00 yang disampaikan oleh YB Senator Datul Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdanan Menteri. Ia satu pencapaian yang cemerlang kerana berjaya mempertahankan piala kejuaraan yang dimenangi mereka pada tahun lalu.
Pada penyertaan kali pertama di IUADC pada 2015, pendebat USIM telah mengharumkan nama negara apabila Anis Amirah berada di kedudukan kedua pendebat terbaik keseluruhan pendebat dalam kategori bukan penutur asli Bahasa Arab.
Turut bersama membawa cabaran Malaysia ke kejohanan ini ialah UIAM dan Universiti Malaya. Pertandingan dwi tahunan ini memasuki edisi keempat sejak mula dianjurkan pada 2011 yang dinaungi oleh Syeikh Hind Hamad Al Thani, Timbalan Presiden Yayasan Qatar. Sebanyak 86 buah pasukan dari 46 buah negara menyertai IUADC pada edisi kali ini.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204