Siswa USIM berlari sekitar kampus USIM bersama OKU

NILAI, 14 April 2018 – Kali pertama dianjurkan, program Larian Amal ‘Light Up OKU’ yang dicetuskan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapat sambutan menggalakkan.

Diadakan pada Sabtu baru-baru ini, 14 April, seramai 300 peserta larian terdiri daripada siswa-siswi USIM dan orang awam berlari sejauh 5 kilometer disekitar laluan utama kampus USIM.

Pelepasan peserta pada jam 8.00 pagi bermula dari Kompleks Sukan Tunku Najihah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Roshada Hashim. Beliau turut sama berlari bersama dalam program ini yang turut disertai oleh 30 orang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang turut mengambil bahagian.

“Ini merupakan larian pertama saya sekitar kampus USIM dan alhamdulillah dapat menamatkan larian ini. Program larian yang dirancang oleh para siswa USIM saya lihat berjalan lancar dan baik. Amat menggembirakan melihat ia mendapat sambutan menggalakkan dari orang awam dan lebih istimewanya pastinya kehadiran golongan OKU yang turut sama berlari. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat” ujar Profesor Dato’ Dr. Roshada.

Cuaca yang baik dan cerah turut menjadi faktor kelancaran program larian ini. Walaupun hanya di dalam kampus, tetapi laluan larian yang ditetapkan penganjur tetap memberi cabaran kepada para peserta. Antara lokasi utama yang dilalui oleh peserta adalah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej PERMATA Insan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Kompleks Islam Tuanku Muhriz dan Dewan Tuanku Canselor.

Menurut Syauqi Mardia Baharudin selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-undang, sebanyak 20 peratus daripada kutipan yuran penyertaan program larian ini akan disumbangkan kepada persatuan atau badan kebajikan yang akan ditentukan kelak.

“Program larian seumpama ini bukan sahaja untuk mendekatkan warga kampus dengan aktiviti ini sebagai aktiviti riadah yang baik untuk kesihatan dan agenda FITUSIM, tetapi pada masa yang sama ia juga mempromosikan kampus USIM kepada masyarakat luar. Mereka yang kali pertama masuk ke kampus USIM memuji keindahan kampus ini dan kemudahan sukan lengkap yang dimiliki”

“Kita memilih OKU sebagai fokus utama larian ini adalah ingin menunjukkan bahawa siswa-siswi universti atau lebih sesuai golongan muda sentiasa cakna dan prihatin dengan golongan istimewa ini. Apabila kita bersama-sama dengan mereka, kita lebih dapat menyelami keperluan mereka dan keistimewaan yang mereka miliki” katanya.

Penganjuran Larian Amal Light Up OKU ini merupakan antara acara utama yang diadakan bersempena Mahrajan Sambutan Fakulti Syariah dan Undang-undang kali Keenam (MANSAF 6.0). Turut sama menyertai larian amal ini adalah Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Profesor Dr. Rozhan Mohd Idrus; Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusa, Profesor Madya Dr. Mohd Radhi Ibrahim; dan Timbalan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr. Arif Fahmi Md Yusof.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204

 

2018-04-17T10:26:28+00:00