DUBAI, 12 November 2018– Demi mengharumkan nama negara dalam Pertandingan Solar Decathlon Middle East (SDME) 2018, sekumpulan 35 siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkoban masa dan tenaga demi menyiapkan Rumah Solar Mizan Home di Dubai. Selaku wakil tunggal Malaysia ke SDME 2018, kumpulan pelajar ini bersama lima pensyarah berkampung di Tapak Solar Syeikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum bermula 2 November lalu bagi memulakan pembinaan Mizan Home.

Kumpulan pertama berada di Dubai sejak 26 Oktober lalu diikuti kumpulan kedua yang tiba pada 3 November. Cabaran awal pembinaan rumah solar ini sudah dirasai apabila tidak dapat dimulakan mengikut perancangan awal pada 29 Oktober berpunca dari proses dokumentasi dan kerosakan pada barangan dalam kontena yang dibawa.

Menurut ketua pembinaan, Muhammad Ariff Hanafi, pelajar tahuk akhir Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina USIM, beliau bersama rakan-rakannya memulakan pembinaan di tapak projek bermula dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari. Mereka juga perlu menempuh satu jam perjalanan dari penginapan untuk sampai ke tapak projek.

“Rasa penat, letih dan tekanan itu memang dirasai semua dengan ditambah cabaran suhu panas pada siang dan sejuk apabila malam di Dubai. Tetapi itu semua kami abaikan kerana fokus utama dan motivasi tinggi untuk memastikan Mizan Home ini siap sepenuhnya menjelang 13 November (esok) seperti yang ditetapkan oleh penganjur. Tidak terlintas untuk berputus asa kerana kami telah membuat persiapan selama dua tahun untuk pertandingan ini”

“Kami telah bekerja lebih dari 180 jam untuk menyiapkan rumah ini dengan semangat yang berkobar-kobar agar rumah solar Mizan Home dapat melakar sejarah gemilang di Dubai untuk universiti dan negara”.

“SDME beri pengalaman dan pendedahan yang amat bernilai kerana kami bukan sahaja melakar model rumah ini tetapi membinanya sendiri satu persatu. Menjelang hari-hari terakhir, sekumpulan pelajar berada 24 jam di tapak projek untuk bekerja mengikut shif dan tugasan yang diberikan. Selain cabaran suhu, angin kuat dan ribut pasir juga memberi kesulitan kepada kerja-kerja pembinaan dan kesihatan para peserta. Alhamdulillah, pada waktu ini 90 peratus rumah solar telah siap” ujarnya.

Mizan Home adalah kolaborasi USIM bersama Universti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan wakil tunggal negara dan Asia Tenggara ke pertandingan yang dianjurkan oleh Dubai Electricity and Water Authority (DEWA). Sebanyak 15 buah rumah solar dari pelbagai universiti seluruh dunia terpilih menyertai pertandingan berprestij ini. Para peserta perlu membina sebuah rumah pintar yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar selain perlu disesuaikan untuk menghadapi cabaran musim panas, habuk dan kelembapan yang tinggi di Dubai. Majlis perasmian SDME 2018 akan diadakan pada 14 November ini oleh Pemerintah Dubai, Syeikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032