NILAI, 19 DIS 2015 – Meriah suasana di Kampung Tembun, Negeri Sembilan apabila seramai 23 orang mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkampung sehari di sana untuk mengadakan pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung.

Mereka yang merupakan pelajar kursus kokurikulum Debat Bahasa Melayu di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM teruja menjadi anak kampung sempena program ‘Santai Mahabbah De Jelebu 2015’ yang diadakan pada 19 Disember baru-baru ini.

Bertolak awal pagi dari Kampus USIM di Nilai, perjalanan ke Kampung Tembun mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan dirasakan amat singkat kerana kehijauan alam semula jadi dan suasana desa yang cantik menjadi peneman sepanjang perjalanan.

Kampung Tembun yang terletak dalam daerah Jelebu yang sinonim dengan penduduknya yang masih kuat mengamalkan Adat Pepatih. Ketibaan mereka disambut ceria penduduk kampung yang telah menunggu di perkarangan Masjid Kariah Bunga Tanjung, Kampung Tembun.

“Bibit kemesraan antara kami dan penduduk kampung terjalin dengan pantas tanda kedatangan  kami sebagai‘anak-anak USIM’ ke kampung ini amat dinantikan dan diraikan. Setelah mendengar taklimat berkaitan kampung dan pengisian sepanjang hari ini yang akan dijalankan, program pertama yang membuka tirai ialah aktiviti sukaneka. Sesuai dengan suasana kampung, permainan tradisional menjadi pilihan”.

“Kita bentuk pasukan yang terdiri daripada siswa USIM dan penduduk kampung untuk mencuba pelbagai permainan. Aktiviti yang dipilih pula lebih memerlukan interaksi dan kerjasama sesama ahli pasukan, jadi hubungan itu lebih akrab dan menggembirakan”.

“Misalnya untuk lelaki, kita bermain sepak takraw, kumpulan wanita dengan pertandingan rebut kerusi dan teka rempah ratus manakala kanak-kanak ternyata seronok dengan permainan boling kelapa dan teka-teki. Perlumbaan berjalan menggunakan tempurung yang disertai lelaki, wanita dan kanak-kanak yang paling menarik dan menghiburkan”. Ujar Muhamad Khairin Hairul Nizam, pelajar Fakulti Ekonomi dan Muamalat selaku Pengarah Program.

Menurut Nur Anis Solehah Zainal, pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, “Kebetulan pada tarikh program kami di sini, salah seorang penduduk kampung berhajat untuk pelajar USIM bersama-sama memeriahkan majlis akikah cicitnya. Jadi sebahagian siswi kita gerakkan untuk membantu majlis ini”.

“Memang seronok merasai pengalaman rewang bersama penduduk kampung menyiapkan pelbagai hidangan seperti kambing masak hitam, ayam masak merah dan ulam-ulaman. Walaupun kami rata-ratanya tidak pandai bertutur loghat Negeri Sembilan, melalui aktiviti ini, kami dapat mempelajari serba sedikit loghatnya dan ia menarik apabila kita dapat merasai adat budaya Negeri Sembilan. Selesai rewang, kami turut serta dalam aktiviti berzanji dan membasuh pinggan mangkuk selepas majlis selesai ”.

Bagi tenaga pengajar Debat Bahasa Melayu USIM, Encik Mohd Zaini Othman, program sebegini secara langsung membina kemahiran insaniah para pelajar melalui pembelajaran luar kuliah. Ia membina hubungan langsung yang murni antara mahasiswa dengan masyarakat, menggilap bakat kepimpinan mereka dan  menerapkan nilai-nilai murni. Universiti bukan lapangan memberi didikan intelektual semata-mata, bahkan Universiti adalah persediaan untuk melahirkan seorang mahasiswa berciri holistik dan tinggi peduli pada suasana sekitar.

Selesai aktiviti sukaneka, rewang, majlis cukur jambul dan makan tengah hari, para pelajar menunaikan solat Zohor berjemaah bersama penduduk kampung di masjid. Program terakhir pada sebelah petang adalah gotong-royong membersihkan masjid seperti kipas, tandas, ruangan solat dan wuduk, bilik air dan kawasan sekitarnya. Majlis penutup ‘Santai Mahabbah De Jelebu 2015’ diadakan bertempat di dewan masjid dengan penyampaian hadiah hamper sukaneka dan cenderamata USIM.

Disediakan oleh:

Urusetia Debat Bahasa Melayu (Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM)

Dikemaskini oleh:

Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204