NILAI, 1 JUL 2016 – Mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang tinggi dan seorang yang berjiwa masyarakat memberi peluang kepada Muhammad Miqdam Mohd Rashid, 23, berasal dari Gombak, mahasiswa program Matematik Kewangan Tahun empat dari Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terpilih sebagai Felo Perdana kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) bermula hari ini.
Anak kelapan dari sepuluh adik beradik ini akan menjalankan tugas di Pejabat KSN di Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Secara umumnya, saya akan berpeluang membantu secara langsung segala urusan kerja Tan Sri Dr Ali Hamsa. Bukan sekadar urusan pentadbiran bersama rakan sekerja Pejabat KSN tetapi turut berpeluang memberi sebarang cadangan pembaikan terhadap pelaksanaan yang lebih baik di pejabat Ketua Setiausaha Negara dan turut terlibat merealisasikannya”.
“Saya dengan prinsip peribadi dan hasrat USIM akan cuba melaksanakan tugas dan peluang yang diberi dengan jayanya. Saya yakin dengan keberadaan saya bersama Tan Sri Dr Ali Hamsa, saya mampu menunjukkan teladan yang baik dalam pelaksanaan sebarang agenda pembaikan dalam pejabat beliau. Saya juga berharap saya mampu membawa aspirasi USIM yang ingin memanifestasikan agenda Naqli-Aqli dalam urusan profesionalisme pentadbiran kerajaan,”.jelas Miqdam.
Menurut Miqdam lagi, tujuan Program Felo Perdana adalah untuk memberi peluang kepada anak muda Malaysia yang cemerlang dan berbakat pengalaman secara langsung dalam urusan tadbir negara. Felo akan bertugas di peringkat tertinggi dalam Kerajaan Persekutuan membantu Menteri Kabinet dalam melaksanakan agenda nasional. Malah sebagai bakal pemimpin negara, felo perdana harus mempunyai minat yang besar di dalam hal ehwal awam dan perancangan dasar kerajaan. Inilah masa yang terbaik bagi anak-anak muda Malaysia yang mempunyai aspirasi untuk terlibat secara langsung di dalam kepimpinan tanah air disamping menyumbang kearah pembangunan negara.
Beliau juga berharap dapat melaksanakan tugas dengan terbaik, dapat memahami setiap budaya dan gerak kerja dalam institusi utama kerajaan seperti Pejabat Ketua Setiausaha Negara. Inilah masanya untuk memberi aspirasi kepada semua mahasiswa bahawa di samping mampu menyatakan kritikan kepada mana-mana polisi kerajaan, mahasiswa juga berupaya menyatakan cadangan pembaikan demi pembangunan negara Rahmah dengan tersusun dan efektif.
Beliau bercita-cita untuk menjadi seorang pakar Kewangan Islam dan Ahli Perniagaan. Beliau juga seorang yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan sukarelawan dan tidak hairan beliau dipilih sebagai Presiden Sekretariat Kesukarelawan Mahasiswa USIM. Antara penglibatan beliau di USIM adalah sebagai Pengarah program Kembara Kasih Ummah Banda Acheh, Indonesia, Pengarah Minggu Cakna Palestin dan Timbalan Pengarah program Global Islamic Student Outreach (GISO) ke Jordan.
Beliau baru sahaja menamatkan latihan industri di CIMB Investment Bank di Kuala Lumpur.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204