NILAI, 25 Jun 2014 – Peluang menjejakkan kaki Mekah dan Madinah yang dikenali juga sebagai tanah haram ini adalah peluang yang amat berharga dan memberi pengalaman bermakna kepada sekumpulan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru melalui program khas di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Seramai 25 orang pelajar tahun akhir dari pelbagai fakulti di USIM telah terpilih sebagai peserta Program Pembangunan Kompetensi Mutawwif 2014 atau singkatannya ‘Mutawwif  2014’ bermula pada 15 sehingga 25 Jun.

Program Mutawwif 2014 dijalankan oleh USIM menggunakan peruntukan yang disediakan oleh Kementerian di bawah Dana Kebolehpasaran Graduan IPT Malaysia. Kementerian menyediakan dana khas ini untuk pelaksanaan program-program khusus oleh Universiti kepada semua pelajar tahun akhir di institusi pengajian tinggi seluruh Negara. Program yang dirangka dapat membentuk kompetensi, kemahiran dan nilai kendiri serta ketersediaan bakal graduan untuk terus diserapkan dalam kerjaya-kerjaya tertentu selepas mereka tamat pengajian kelak.

Menurut penyelaras program ini, Dr. Khairunneezam Mohd Noor, pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM, peserta Mutawwif ditanggung sepenuhnya perbelanjaan mereka sepanjang mengikuti program ini seperti tambang perjalanan, penginapan, makan-minum dan urusan ziarah semasa di Mekah dan Madinah.

“Peserta program Mutawwif 2014 ini diberikan pendedahan yang komprehensif oleh agensi pengendali program umrah dan ziarah yang dilantik iaitu HM Global Charter Travel Sdn. Bhd. Sebagai peserta kursus, peserta diberi peluang membuat tugasan lapangan mengendalikan jemaah umrah lain dalam rombongan ini antaranya pengurusan jemaah di lapangan terbang; penyelarasan bagasi; imigresen; pengendalian taklimat, tazkirah dan penerangan mengenai ibadah umrah dan lokasi ziarah; serta hal ehwal kebajikan dan kecemasan jemaah”.

Tambahnya lagi “Program ini berpaksikan matlamat membentuk mutawwif professional atau pembantu jemaah haji dan umrah yang memiliki pakej pengetahuan, kemahiran dan keperibadian yang mantap seterusnya mempunyai peluang kerjaya yang cerah di syarikat pengendali haji dan umrah”.

Peserta yang dipilih melalui saringan yang ketat antaranya cemerlang dalam akademik dan kokurikulum, mempunyai kebolehan berbahasa Arab dan Inggeris dengan baik, mengikuti kursus persediaan umrah dan cemerlang dan melepasi ujian bertulis dan temuduga.

Disediakan oleh :

Norumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204