NILAI, 24 Disember 2021 – Penangguhan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) selama seminggu kepada semua pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berikutan bencana banjir yang melanda beberapa kawasan, telah dimanfaatkan oleh para pelajar dengan menyertai Misi Bantuan Prihatin kepada warga USIM yang terkesan banjir di beberapa kawasan di Salak Tinggi, Labu, Jenderam, Dengkil dan Kg Lubok China Negeri Sembilan.
Seawal pada hari Ahad 19 Disember 2021, diketuai oleh Encik Ekmal Buhary selaku Ketua Operasi Bantuan Prihatin USIM, beberapa pasukan sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan staf telah digerakkan bagi menghulurkan bantuan tenaga untuk aktiviti pencucian dan menyalurkan sumbangan barang keperluan asas yang disumbangkan oleh orang ramai.
Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi yang turut serta dalam operasi ini berkata, sukarelawan yang disertai lebih 50 orang ini menunjukkan komitmen dan semangat kerjasama yang tinggi bagi meringankan beban kepada warga USIM yang terkesan akibat banjir yang melanda.
“Malah, kami turut menghulurkan bantuan kepada kejiranan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama samada kaum melayu, cina dan India yang berada di kawasan terlibat. Pihak pengurusan USIM juga turut turun padang membantu dan memberikan sokongan dan semangat agar mereka kuat dan tabah menghadapi ujian banjir ini”, tambah Dr. Hammad.
Sehingga 24 Disember, sebanyak 24 kediaman telah dibantu dan turut terkesan adalah kediaman Ahli Lembaga Pengarah USIM, Ustaz Mohd Hariri Mohammad Daud yang terletak di Salak Tinggi.
Dalam pada itu, di lokasi berasingan, seramai 30 mahasiswa dari Perkumpulan Anak-anak Negeri Sembilan (Pemanis USIM) telah menyertai Yayasan Munarah iaitu yayasan kebajikan Keluarga Di-Raja Negeri Sembilan dalam aktiviti pembersihan dan menyalurkan sumbangan berupa wang tunai, barangan keperluan asas dan kelengkapan solat kepada penduduk yang terjejas di kampung Lubok China, Rembau, Negeri Sembilan.
Operasi bantuan yang diketuai oleh Y.M. Tunku Kecil Muda Tengku Dato’ Seri Hasmuddin Bin Tengku Othman mewakili Pengerusi Yayasan Munarah iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tunku turut merakamkan terima kasih kepada Profesor Dato’ Dr. Muhammad Taufik Mohd Nor, selaku penasihat Pemanis Negeri Sembilan dan juga mahasiswa yang terlibat yang menyertai aktiviti pembersihan dari rumah ke rumah.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan