NILAI, 23 April – Seramai 20 orang pelajar Sarjana Kaunseling Penyalahgunaan Dadah (SPADA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan lawatan  ke Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) USIM.

Lawatan ini adalah sebahagian pengisian Bengkel Pemantapan Kemahiran Terapi Penyalahgunaan Dadah yang telah dianjurkan oleh pelajar Sarjana Kaunseling Penyalahgunaan Dadah (SPADA) USIM.

Menurut Pengarah ACREDA, Prof. Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, matlamat utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan maklumat berkaitan teknik rawatan Terapi Psiko-Spritual dalam membantu merawat penagihan dadah.

“Selain itu, bengkel ini juga adalah untuk memberi maklumat kepada peserta mengenai teknik dan kaedah yang boleh dijalankan dalam menilai dan menjalankan kajian untuk membantu rawatan penyalahgunaan dadah,” katanya lagi.

Beliau menambah, bahawa penganjuran bengkel ini juga bertepatan dengan hasrat mobiliti dan perkongsian pelajar sarjana UMS dan USIM kerana dapat mengeratkan hubungan yang telah terjalin erat selain bertukar maklumat. Ini dapat memantapkan lagi ilmu serta kemahiran yang sedia ada.

Bengkel yang telah berlangsung selama 2 hari bermula 23 hingga 24 April di DKF 1.2 Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dijayakan dengan  siri ceramah yang disampaikan oleh pakar dari pelbagai  bidang seperti  Mr Alex Ng Wei Siong (Pakar Psikologi Klinikal) Subang Jaya Medical Centre dan Encik Rafidi bin Jusuh (Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsan).

Disediakan oleh:

Fauziah Hassan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM

Disunting oleh :
Mohd Zaini Othman, Penolong Pendaftar StraComm