NILAI, 2 JUN 2016 – Melahirkan Pembimbing Ibadat Haji atau mutawif yang berpengetahuan tinggi adalah dituntut bagi memastikan perjalanan Ibadah Haji para Jemaah terjamin dan berjalan lancar. Bukan hanya menjalankan tanggungjawab semata-mata namun ia nmemerlukan keikhlasan dan kepakaran di mana mereka akan menjadi sumber rujukan sekiranya ada permasalahan atau kesukaran apabila berada di Tanah suci.

Justeru, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti  Sains Islam Malaysia (USIM) dengan usahasama Lembaga Tabung Haji Malaysia bersepakat menjalin usaha murni dengan menganjurkan  program Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) 2016 bermula 28 Mei hingga 2 Jun 2016 bertempat di FKP USIM.

Menurut Dekan FKP Prof. Madya Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin dan merupakan salah seorang penceramah, usaha sama yang dijalankan secara bersama dengan LTH merupakan penganjuran kali ke tujuh sejak ia mula diadakan pada tahun 2010. Namun pada kali ini kelainan ditampilkan kerana diadakan di kampus USIM sendiri bagi memberi pendedahan dan merasai persekitaran belajar dalam kampus.

“Menerusi jaringan kepakaran akademik dari USIM diharap dapat membantu  dan memantapkan para peserta dengan teknik dan persediaan dari aspek emosi, rohani dan jasmani serta menjadikan peserta SPIH ini sebagai Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) yang boleh dirujuk umat Islam lain di seluruh dunia”, tambah Dr. Yahya.

Manakala Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dalam ucapannya mengucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada para peserta kerana mengikuti program ini dengan tekun dan cemerlang.

Seramai 72 peserta SPIH dari pelbagai latarbelakang agensi dan syarikat haji dan umrah berjaya menamatkan kursus dengan 13 modul yang disampaikan oleh penceramah dari LTH dan USIM.

Diharap penganjuran program ini dapat melahirkan PIHTAS yang berpengetahuan tinggi di bidang pengajian ibadat haji melalui pembelajaran yang sistematik dalam menjelaskan hukum hakam ibadat haji terkini berdasarkan isu dan masalah semasa.

Turut hadir sama pada majlis penyampaian sijil  adalah Dato’ Syed Saleh Syed Abdul Rahman Pengurus Besar Kanan (Haji) Lembaga Tabung Haji, Dato’ Ahmad Sohaimi Abd Rahim Pengurus Besar Penyelidikan dan Pembangunan Haji dan para penceramah kursus.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204