RAWANG – Seramai 22 sukarelawan pelajar dari StraComm Clique, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap khidmat komuniti dan pemeliharaan alam sekitar melalui penganjuran program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertajuk “Nature Venture with StraComm Clique: Breathe, Bond, Belong” yang berlangsung di Air Terjun Kanching, Rawang  pada 10 Julai 2025 baru-baru ini.

Kumpulan peserta yang terdiri daripada 12 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan ini telah menyertai program sehari yang bertujuan untuk membersihkan dan memelihara keindahan semula jadi lokasi rekreasi popular tersebut. Program ini diketuai oleh Pengarah Program merangkap Presiden StraComm Clique, Muhammad Akmal Zuhdi, yang turut melahirkan penghargaan terhadap semangat dan dedikasi para peserta.

“Sebagai Pengarah Program untuk inisiatif CSR ini, saya amat berbangga dengan semua peserta yang terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan ini. Program ini bukan sahaja menyemai semangat kerja berpasukan dalam kalangan ahli StraComm Clique, malah turut memperkukuh rasa cinta terhadap alam semula jadi. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pegawai dan staf yang banyak membantu menjayakan program ini. Diharapkan usaha ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif alam sekitar yang memberi impak pada masa akan datang,” ujarnya.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah menjalankan pelbagai aktiviti termasuk kerja-kerja pembersihan kawasan air terjun serta pengedaran makanan ringan kepada para pengunjung. Aktiviti turut diserikan dengan sesi renungan, ikatan silaturrahim, dan santapan berkelah bersama bagi mengeratkan lagi hubungan sesama ahli.

Program yang dianjurkan di bawah Kelab Komunikasi Strategik (StraComm) ini mencerminkan komitmen kelab dalam menerapkan kesedaran alam sekitar, tanggungjawab sosial serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan ahlinya, sambil menikmati keindahan ciptaan alam.

Oleh: Eizza Anis Nafiesha Ag Ghani