NILAI, 10 Mei 2019 – Seramai 60 sukarelawan dalam kalangan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membantu untuk mengedarkan bubur lambuk dan kurma sebagai juadah berbuka puasa kepada pengunjung di sekitar Masjid Klana Petra Nilai melalui program Xpresi Dakwah 3.0.
Sukarelawan yang terdiri daripada Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM), USIM itu bekerjasama dengan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang mana ini kali pertama dianjurkan di Nilai.
Selain edaran iftar, sukarelawan USIM juga membuat “Street Dakwah” di sekitar bazar dengan menyampaikan tazkirah santai mengenai isu keharmonian dan perpaduan kaum yang disampaikan oleh 4 orang panel daripada wakil persatuan USIM iaitu saudara Muhammad Fiqran bin Hussin mewakili Sinergi Mahasiswa Islam (SMI), saudara Dzafir Firdaus bin Zubairy mewakili Majlis Perwakilan Pelajar USIM (MPP USIM), Abdul Muiz Luqman Bin Abd Latiff, PMIUPM 18/19 dan saudara Abraham selaku Pengerusi Persatuan Belia Xiang Lian Malaysia Bahagian Titiwangsa.
Menurut Fiqran, program sebegini perlu diteruskan pada masa akan datang dengan mengharapkan agar ada perancangan yang lebih strategik dan mendapatkan penaja yang lebih ramai. Kami sebagai sukarelawan sangat bersedia untuk memberi kerjasama dengan mana-mana badan persatuan organisasi sosial untuk menganjurkan kerja-kerja kesukarelawanan.
“Program ini juga sebenarnya mengikis sifat malu pelajar untuk berinteraksi dengan masyarakat sekitar di samping dapat memperkasa Persatuan Pelajar di USIM dalam menjayakan program berbentuk kebajikan dan kesukarelawanan,” katanya lagi.
Xpresi Dakwah 3.0 ini merupakan kali ketiga dianjurkan dan menjadi rutin kepada GAMIS pada setiap kali Ramadan dengan menjemput penyertaan dari mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi. Program ini dapat membantu mahasiswa dan mahasiswi USIM membentuk kemahiran insaniah pada diri masing-masing dengan semangat kerjasama yang erat dan secara tidak langsung dapat menyumbangkan ilmu kepada pihak luar.
Turut hadir ke program tersebut adalah Dato’ Najib Abu Bakar, COO Narinar HQ selaku perasmi dan penaja utama program Xpresi Dakwah.
Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hasan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan