NILAI, 31 Mac: “Para pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) digalakkan menonjolkan bakat dalam bidang sukan dengan lebih cemerlang supaya dapat bersaing di peringkat yang lebih tinggi” kata Naib Canselor USIM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Sukan antara Kolej-Kolej Kediaman (SUKOL) USIM  baru-baru ini.

Tambahnya lagi, sekiranya pelajar mempunyai keinginan dan semangat yang tinggi untuk menjadi jaguh di kalangan atlet Universiti lain dalam sesuatu acara sukan, beliau sanggup membantu. Ini kerana beliau secara peribadi amat meminati dan aktif bersukan dalam pelbagai acara ketika zaman belajar dahulu.

Tegas YBhg. Naib Canselor “USIM sememangnya terkenal dan sudah membina kegerunan pada lawan dalam pertandingan debat, tetapi tidak dalam bidang sukan. Kita memerlukan sesuatu yang unggul dalam bidang ini bagi mengelakkan terus berada di tahap bawah dan dipandang rendah oleh masyarakat”.

Bagi menjadikan Universiti sentiasa mempunyai pelapis yang berkualiti, elaun kepada pelajar yang mewakili USIM turut dinaikkan bukan sahaja dalam bidang sukan, malah dalam apa jua bidang yang diwakili sebagai insentif atas usaha dan keupayaan mereka menjadikan USIM berdiri sebaris dengan universiti lain.

Sementara itu, majlis yang berlangsung di Pusat Sukan Tunku Najihah menyaksikan Kolej Kediaman Acacia Aveneu (KKAA) muncul juara keseluruhan mengalahkan tujuh pasukan lain sekaligus membawa pulang Piala Pusingan dan Piala Iringan.

Selaku pengerusi kejohanan SUKOL pada kali ini, Hana Maizuliana Solehan, penghuni Kolej Kediaman Pandan, berkata “Sambutan daripada para pelajar baik dan boleh dipertingkatkan. Diharapkan agar lebih ramai lagi pelajar yang akan menyertai dan memeriahkan kejohanan ini pada edisi yang akan datang”.

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)  USIM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed   Asin Dollah serta Pengetua setiap kolej kediaman yang mengambil bahagian.

Disediakan oleh :

Ejen Berita USIM (EB Shada, EB Madi, EB Dina, EB Syuq)

Disunting oleh :

Mohd Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)