NILAI, 15 Feb 2017 – Mengambil inisiatif dan menzahirkan kepekaan serius dalam isu kewangan Islam dan maqasid shariah di peringkat global, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan langkah merealitikan Majlis Syarahan Umum Tuanku Canselor bertajuk Critical Success and Failure Factors in the Islamic Finance Industry in the 21st Century: An Insider and Global Perspective yang disampaikan oleh Datuk Dr. Mohamad Daud Bakar selaku penyandang Kursi Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali Berdaftar (YTI).

Kursi ini diletakkan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) dalam berkongsi tenaga kerja, kepakaran serta fasiliti untuk menjalankan penyelidikan dan berhasrat memperkayakan khazanah hasil penyelidikan serta penerbitan di dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam yang dapat dimanfaatkan bagi kepentingan pembangunan negara secara amnya.

Datuk Dr. Mohamad Daud Bakar yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kepakarannya, beliau sekarang merupakan teraju utama syarikat Kumpulan Amanie Sdn. Bhd. dan juga sedang berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah di Bank Negara Malaysia.

Menurut Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Musa Ahmad penganjuran syarahan ini juga merupakan platform bagi mengetengahkan isi-isu semasa berkaitan ekonomi dan muamalat dan memberi penjelasan terperinci mengenai konsep ekonomi, muamalat dan maqasid syariah serta amalannya di Malaysia atau luar negara di samping berkongsi pengalaman tokoh-tokoh ilmuan dan pengamal tersohor dalam bidang ekonomi, muamalat dan maqasid syariah.

Prof Dato Dr Musa Ahmad turut menyeru agar semua peringkat khususnya, pihak pengamal, ahli akademik dan institusi kewangan Islam agar memberi tumpuan untuk menyebarkan maklumat dengan hasil penyelidikan yang berkualiti kepada masyarakat tentang pengetahuan dalam kewangan Islam, khususnya mengenai implikasi inovasi produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan Islam yang telah diperkenalkan dan yang akan dibangunkan kelak.  Untuk mencapai maksud ini, kita mestilah bersikap terbuka dalam menerima inovasi berasaskan Shariah dalam pembangunan produk kewangan Islam.

Syarahan ini dihadiri seramai lebih 1500 orang dikalangan pelajar, Institusi Perbankan, dan staf USIM. Majlis disempurnakan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Tuanku Canselor USIM.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204