NILAI, 8 Jun 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Hadhramout, Yaman. USIM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, manakala Universiti Hadhramout diwakili oleh Presiden, Profesor Dr. Mohammed Saeed Khanbash. MoU ini adalah hasil daripada hasil lawatan USIM yang diketuai oleh Naib Canselor ke Kedutaan Yaman pada 10 April tahun ini.
Melalui Kerjasama ini, USIM dan Universiti Hadhramout bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya penerbitan dan geran penyelidikan bersama, program mobiliti pelajar dan pertukaran staf, pelaksanaan kursus bersama secara dalam talian, penyeliaan bersama untuk program Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), penawaran program Sarjana atau PhD luar pesisir serta penganjuran bersama persidangan, seminar dan simposium.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapan aluannya berkata, “Melalui MoU ini, kita dapat mempromosikan USIM dan berkongsi kepakaran untuk menarik lebih ramai pelajar dari Yaman belajar di USIM. Setakat ini, USIM mempunyai dua orang pelajar sarjana muda dari Yaman dan 24 pelajar di peringkat Pasca Siswazah”.
“Kerjasama ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan memberi impak positif dalam pembangunan sains, pembangunan modal insan dan perkongsian kepakaran dalam Dunia Islam.” Ujar beliau lagi.
Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan