NILAI – Tidak mahu membebankan ibu dan ayah, Mustaqim Juri,22, buat pertama kalinya ‘terbang’ sendirian dari Kota Samarahan Sarawak untuk menghadirkan diri mendaftar sebagai pelajar baharu program Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi (Kepujian), Universiti Sains Islam (USIM) hari ini.

“Saya sampai di lapangan terbang KLIA2 pada jam 9.30 malam dan ‘bermalam’ di sana. Selepas subuh saya persiapkan diri dan mengambil ‘grab’ untuk terus ke USIM. Inilah kali pertama saya berjauhan dengan ahli keluarga demi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi”.

“Jaga diri sebaiknya, dan buat yang terbaik di USIM”, itulah nasihat dan pesanan yang dititipkan oleh ayahnya Juri Andey dan ibunya Bana Sen kepada beliau ketika menghantarnya ke lapangan terbang.

Anak ketiga dari lima beradik ini bercita-cita untuk menjadi seorang guru agama dan berharap dengan pendidikan ini kehidupan beliau akan lebih maju dan cemerlang dari sebelum ini.