NILAI, 30 Mei – Selami erti sejarah dan sains dengan menerokai keseronokan dalam bidang falak dan astronomi menerusi ciptaan dan penemuan saintifik oleh cendekiawan Islam ketika kemuncak tamadun Islam sekitar tahun 717-770 Masihi.

Pameran falak dan astronomi yang julung-julung kali diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini merupakan sebahagian daripada aktiviti peserta Permata Insan yang telah diatur sepanjang Kem Cuti Sekolah selama seminggu yang bermula pada 25 Mei yang lalu.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk memupuk minat dan mendidik peserta Permata Insan dalam bidang sains selain mendalami ilmu agama Islam sejajar dengan konsep aqli dan naqli. Disamping itu, pameran ini juga menggalakkan masyarakat untuk menghargai dan menyemarakkan aktiviti pendidikan berteraskan sains Islam dan bagi meraikan sumbangan cendekiawan Islam pada zaman kegemilangan dunia Islam serta pengaruh penemuannya yang memberi inspirasi terhadap ciptaan alatan moden.

Menerusi program ini, peserta Permata Insan boleh merasai impak sebenar filem format tiga dimensi (3D) dan tayangan simulasi langit yang mengaplikasikan imej digital bermutu tinggi di dalam Planeterium Mini yang disediakan.

Peserta juga diberikan pendedahan mengenai cerapan matahari, bulan dan bintang menggunakan teleskop khas. Peserta Permata Insan turut diuji minda dengan permainan interaktif iaitu pembuatan roket angin yang diadakan khas untuk mereka.

Pameran Falak dan Astronomi ini mempamerkan sembilan bidang utama Islam iaitu penemuan saintifik, matematik dan pelayaran, astronomi, perubatan, instrumen pembuatan, teknologi kesenian dan ciptaan, optik, kejuruteraan, seni bina dan penerbangan.

Pameran anjuran bersama Pusat PERMATA Insan dan Pusat Strategik Komunikasi (StaraComm) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) berlangsung selama dua hari bermula  30 hingga 31 Mei yang lalu. Pada hari kedua, seramai 200 orang pelajar dan kakitangan USIM terawal berpeluang memasuki Planeterium Mini ini secara percuma.

Disediakan oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)