Seri Kembangan, 23 November 2010 – “Aktiviti dakwah bukan sahaja dilakukan melalui perbuatan tetapi juga melalui perkataan yang mana tidak mungkin ada dakwah tanpa percakapan”, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Y.B Dato’ Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Dakwah Dan Pengurusan Islam 2010 (IC-DAIM 2010) anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Seri Kembangan.

“Justeru itu, saya berharap agar aktiviti dakwah melalui perkataan dapat dipertingkatkan dalam memperjuangkan pengembangan dan pembangunan bidang Dakwah dan Pengurusan Islam di negara ini”, tambah beliau lagi.

Persidangan selama dua hari ini bertujuan untuk mengumpulkan sarjana-sarjana Dakwah dan Pengurusan Islam daripada universiti-universiti dan organisasi-organisasi (perniagaan dan bukan perniagaan) Islam dan bukan Islam daripada dalam dan luar negara, dan untuk membincangkan bidang Pengurusan Islam dengan lebih menyeluruh.

Sebanyak 131 kertas kerja telah dibentangkan oleh 130 orang pembentang. Antara tajuk-tajuk yang dibentangkan adalah ‘Pemikiran Dakwah Al-Faruqi:Satu Kajian dari Sudut Metodologi dan isi kandungannya’, ‘Kepentingan Memahami Budaya Setempat dalam Menyebarkan Dakwah Islamiah’ dan ‘Kepentingan Dakwah Kepada Golongan Bermasalah Pendengaran’.

Hampir 150 orang peserta telah menyertai seminar ini. 35 orang daripadanya terdiri dari peserta luar negara seperti United Kingdom, Sudan, Nigeria, Bangladesh, Brunei Darussalam, Iran dan Singapura.

Selain itu Y. Bhg. Tan Sri Muhammad Ali Hashim turut menyampaikan ucaptama beliau yang bertajuk “Quality Management & Excellent Organization : The Experience & Direction”.

Persidangan yang bertemakan “Kearah Memperkasakan Organisasi dan Ummah” ini turut dihadiri oleh YB. Datuk Dr. Abdullah Bin Md Zain, Penasihat Agama Kepada YAB Perdana Menteri dan Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Gambar oleh : Mohd Yusrizal Mohd Yunus (Tel:06-7988058)