NILAI 25 Jan. – Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud hari ini, berkenan berangkat mencemar duli buat julung kalinya ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk lawatan rasmi sempena Pemasyhuran Kebawah Duli Tuanku sebagai Canselor USIM pada 3 Disember 2011 yang lalu.

Turut mengiringi bersama Baginda Tuanku pada lawatan tersebut Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz dan Yang Mulia Tunku Dato’ Nazihah bt Tunku Muhammad Rus.

Keberangkatan tiba Baginda Tuanku disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Y. Bhg. Tan Sri Dr. Mohamad Yusof Hj. Md. Noor; Naib Canselor USIM, Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda; Ahli Lembaga Pengarah Universiti; Barisan Pengurusan Tertinggi serta warga USIM.

Sejurus tiba, Baginda Tuanku menerima tabik hormat daripada Pasukan PALAPES USIM dan kemudianya dibawa ke Pejabat Canselor sebelum baginda tuanku berangkat ke sesi taklimat universiti yang disampaikan oleh Naib Canselor USIM.

Baginda Tuanku kemudian dibawa melawat ke Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) bagi melihat kemudahan Studio Radio dan Studio Televisyen serta Makmal Kaunseling Kanak-kanak yang terdapat di fakulti tersebut.

Sepanjang lawatan di FKP, Baginda Tuanku diberikan penerangan ringkas yang disampaikan oleh Prof.Madya Dr. Abd Halim Mohd Husin, Pengarah Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asean dan Cik Suria Hani A. Rahman, Ketua Program Komunikasi.

Agenda lawatan Baginda Tuanku seterusnya diteruskan dengan lawatan ke Perpustakaan USIM. Di sana, baginda tuanku dibawa melawat ke pameran jabatan-jabatan dan sekitar perpustakaan. Baginda juga turut dipersembahkan kaedah cara meminjam buku menggunakan “Self Chelk Kiosk” .

Mengakhiri lawatan tersebut, baginda tuanku berangkat ke Majlis Santapan Tengahari dan pada masa yang sama, Baginda Tuanku turut berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM5 Ribu kepada Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia Cawangan Daerah Seremban (Pusat Jagaan Harian Warga Tua Seremban) dan Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan Negeri Sembilan.

Seluruh warga USIM merafak sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor berangkat mencemar duli untuk lawatan rasmi ke Universiti Sains Islam Malaysia.

Oleh:

Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia