AMPANG, 22 Feb 2017 – DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, Pro Canselor USIM membuat kunjungan sulung ke Kampus USIM di Pandan Indah, Kuala Lumpur pada hari ini.

Kunjungan ini dibuat sempena Lawatan Kerja DYMM Tuanku Canselor dan YAM Tunku Pro Canselor untuk melihat secara dekat perkembangan Kampus USIM di Pandan Indah dari segi kemudahan fasiliti, prasarana, kemudahan pembelajaran dan pengajaran dan beramah mesra bersama para pelajarnya.
Kampus USIM Pandan Indah yang menempatkan dua buah fakulti iaitu Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPg) mempunyai seramai 227 orang staf akademik dan pentadbiran serta seramai 641 orang pelajar.

Dalam sembah taklimat perkembangan FPSK yang disampaikan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr Nik Nasri Nik Ismail, beliau memaklumkan projek pembinaan bangunan FPSK di Nilai dijangka siap pada tahun 2019.

“Projeknya akan bermula penghujung bulan Februari ini di bawah seliaan JKR Negeri Sembilan dengan tempoh pembinaan dijangka selama 30 bulan. USIM meletakkan harapan pengambilan dan pendaftaran kumpulan pelajar perubatan pada tahun 2019 nanti yang menjadi kumpulan pertama mendaftar di bangunan fakulti yang baharu ini,” ucapnya.

Turut dikongsikan juga rancangan masa hadapan untuk membangunkan sebuah USIM Health Complex yang akan menempatkan hospital dengan kapasiti 180-200 katil, asrama pelajar, kuarters staf, kemudahan bangunan parkir hospital berkapasiti 2500 petak, hospitel (hospital berkonsepkan hotel) dan pusat kediaman warga emas. Anggaran kos keseluruhan sekitar RM 1.3 bilion dan dibina secara pembiayaan swasta.

Dalam taklimat berkaitan FPg yang disampaikan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr Wan Mohamad Nasir Wan Othman, beliau menyatakan fakulti berkenaan juga turut akan dibina di Nilai dengan peruntukan sebanyak RM 83 juta dalam RMK 11. Pada masa kini ia dalam proses tawaran tender bagi pembinaannya.

Antara kemudahan yang dilawati oleh DYMM Tuanku adalah Poliklinik Pergigian Pelajar, Klinik Pakar Pergigian, Skil Lab, Muzium Anatomi dan Learning Space. Sempena lawatan ini juga, DYMM Tuanku turut berkenan merasmikan Galeri FPg. Lawatan kerja ini juga disertai oleh Ahli Lembaga Pengarah USIM serta Pengurusan Kanan Universiti.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204