NILAI, 4 Jun 2015 –  Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, DYMM Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berangkat mencemar duli ke Majlis sempena Lawatan Diraja dan Perasmian Dewan Tuanku Canselor yang terdahulu dikenali sebagai Dewan Besar USIM.

Turut mengiringi YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz selaku Pro Canselor USIM, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Hj Awaludin Said Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Haji Husin Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad Naib Canselor.

Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Haji Husin Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dalam ucapannya berkata cadangan penubuhan institusi pengajian tinggi Islam sebagai sebuah Universiti Awam adalah hasrat kerajaan untuk menampung kekurangan intelek yang menguasai ilmu Islam ini telah  dibuat oleh YB. Menteri Pendidikan ketika itu Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Pasir Puteh, Kelantan, pada 14 Jun 1996.  Pengumuman rasmi penubuhan Kolej Universiti Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai KUIM telah dibuat oleh Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 14 Jun 1997, di Besut, Terengganu, setelah mendapat kelulusan Kabinet pada 11 Jun 1997.

“Hasrat penubuhan ini adalah selaras dengan manifestasi Kerajaan untuk melahirkan pemimpin Islam yang  berwibawa dan dapat memelihara kepentingan negara dan umat Islam sepenuhnya. Selain itu ia berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai model utama negara-negara Islam di dunia dan menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dengan menggunakan kurikulum tempatan untuk memastikan keutuhan Islam dalam negara demi merealisasikan pembinaan tamadun baru Islam” jelas beliau.

Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad pembinaan dewan besar ini dimulakan pada 13 Julai 2010 dan telah disiapkan sepenuhnya pada 8 Ogos 2014. Jumlah keluasan lantai dewan besar adalah 12,000 meter persegi  atau bersamaan dengan 129,171 kaki persegi dengan kos projek sebanyak hampir RM 45 Juta.

“Rekabentuk keseluruhan bangunan Dewan Besar USIM ini adalah moden dengan nilai-nilai rekabentuk Islam bagi mencerminkan matlamat serta misi universiti untuk menjadi sebuah pusat pengajian Islam yang progresif  serta maju dalam bidang sains dan teknologi”.

“Ruang utama dewan dapat memuatkan sejumlah lebih kurang 3,100 orang ketika konvokesyen berlangsung dan kapasiti dewan secara keseluruhan termasuk penggunaan Bilik Serbaguna dan bilik jamuan adalah seramai 5,000 orang pada satu-satu masa majlis dilangsungkan”, tambah Dato’ Musa.

Dalam Majlis ini, Tuanku Canselor turut merasmikan pelancaran 9 buah buku iaitu buku Integrasi Naqli Aqli setiap fakulti di USIM, dan sebuah Buku Integrasi Naqli dan Aqli adalah buku berkonsepkan Coffee Table Book yang dihasilkan oleh Jabatan Perpustakaan USIM sempena sambutan ulang tahun ke-15 USIM.

Buku Coffee Table Book ini mengandungi sembilan (9) bab yang menerangkan hubungan integrasi  ilmu Naqli dan Aqli bermula dengan idea gagasan penubuhan KUIM, perkembangan infra, pembangunan ICT, pengajaran dan pembelajaran, penerbitan, penyelidikan, pemerkasaan modal insan, pengantarabangsaan dan kelestarian kewangan.

Selain itu, Yang Di-Pertuan Besar dan Tunku Ampuan Besar  buat pertama kalinya mencemar duli melawat pembangunan di sekitar kampus dan melihat sendiri pelbagai kemudahan pembelajaran dan pengajaran (P&P) yang terdapat di USIM.

Lawatan Diraja turut membabitkan lawatan ke Kolej Permata Insan bagi melihat perkembangan anak-anak genius yang mengikuti pembelajaran di situ. dan lawatan turut dilakukan ke konti Radio USIM dan Studio TV yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar Program Komunikasi di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Dsediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204