NILAI, 16 Feb 2014 – Penghasilan dan pembukuan Modul Seni Budaya Unit Kebudayaan (UK) Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Sains Islam Malaysia baru-baru ini dilihat sebagai usaha berterusan dan jitu UK dalam menyelaras dan menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran Urus Setia Kesenian Pelajar USIM.
Bengkel Penyediaan Modul Seni Budaya 2014 yang melibatkan 13 buah kumpulan kesenian tersebut dikelolakan sepenuhnya oleh Unit Kebudayaan BHEP USIM telah berjaya dihasilkan melalui komitmen tinggi oleh 13 orang Pengajar Seni Budaya professional yang bertempat di Galeri BHEP USIM pada 15 dan 16 Februari yang lepas.
Program yang julung kali diadakan ini merupakan inisiatif UK dalam memperkasa kualiti pembelajaran dan pengajaran setiap genre kesenian terpilih seperti Dikir Barat, Teater, Muzik, Tarian Tradisi, Nasyid, Qasidah dan Taranum, Penulisan Kreatif, Cak Lempong, Pengurusan Acara, Koir, Perkusi, Seni Khat dan Seni Lukis. Selain langkah penyeragaman, bengkel ini juga turut membincangkan penetapan Petunjuk Pencapaian Tahap Prestasi (KPI) bagi setiap latihan kumpulan kesenian.
UK dilihat telah mengambil tindakan progresif sebagai persediaan awal ke arah penubuhan Pusat Kebudayaan di kampus tetap itu tidak lama lagi, dan seramai 13 orang Pengajar Seni Budaya professional ini juga telah menerima surat pelantikan secara rasmi yang telah ditandatangani oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM untuk melatih kesemua kumpulan didalam Urus Setia Kesenian Pelajar yang terlibat.
Selain itu, turut dijemput Dato’ Drs. Rafie Hj. Mohamad, Ketua Pusat Kebudayaan, UKM bagi mengisi slot yang bertajuk “Pembangunan Seni Budaya; Menilai ke Arah Keberkesanan Perancangan Aktiviti” dan disusuli pencerahan mengenai “Kepentingan dalam Pembangunan Kemahiran Insaniah” yang dibentangkan oleh Encik Md Hafizi Elias, Ketua Penolong Pengarah BHEPP, Jabatan Pengajian Tinggi.
Majlis Perasmian Penutup Bengkel Modul Seni Budaya telah disempurnakan oleh Encik Nasrul Hakim Ahmad, Ketua Bahagian HEP USIM disamping turut menerima Buku Modul Seni Budaya daripada Encik Ismail Ahmed, Ketua Unit Kebudayaan BHEP USIM.
Disediakan Oleh:
Wanza Mohamad
Disemak oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Penolong Pegawai Media