SKUDAI, 9 Okt – Berbekalkan pengalaman dan rasa ingin terus mencuba telah membawa kejayaan kepada empat orang Urusetia Kesenian Pelajar, Unit Kebudayaan  Universiti Sains Islam Malaysia apabila berjaya membolot kemenangan di Majlis Perujian Tilawah Al–Quran MAKUM 2011 baru-baru ini.

Program anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) ini disertai 10 IPTA bagi Perujian Tilawah Al-Quran manakala tujuh penyertaan bagi Pertandingan Seni Khat.

Tuah menyebelahi Saudara Yusuf Hasni Montalib apabila dinobatkan Johan bagi pertandingan Seni Khat manakala rakan seperjuangan, Saudari Nurhafizah Othman pula berjaya mendapat Naib Johan.

Dalam pada itu, peserta Qariah USIM Saudari Nur Azimah Ahmad Sukaimie berjaya memikat hati juri pertandingan  apabila bacaan beliau telah dipilih sebagai Naib Johan bagi pertandingan Tilawah Al-quran pada program yang sama .

Menurut Nur Amizah kejayaan yang dikecapi ini merupakan pengalaman yang sangat manis  dan tidak menyangka sama sekali bahawa bacaan beliau  akan dipilih  sebagai Naib Johan.

“Saya bersyukur ke hadrat Ilahi dan  ribuan terima kasih kepada USIM, khususnya Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar  kerana memilih saya untuk menyertai pertandingan pada kali ini” kata Nur Amizah.

Qari USIM, Saudara Ahmad Naeim Mat Isa pula berjaya mendapat tempat Ketiga dan beliau menyifatkan pertandingan pada kali ini sangat sengit dan kebanyakan peserta mempunyai pengalaman serta kelebihan tersendiri.

Qari dan Qariah USIM dari kumpulan Tarranum di bawah Unit Kebudayaan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar ni mendapat bimbingan daripada En Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Pertandingan yang dianjurkan ini bertujuan menerapkan budaya ilmu melalui pembacaan dan penghayatan Al – Quran yang mengandungi keindahan unsur-unsur dakwah yang menyeluruh berbentuk nasihat dan pedoman hidup selain meningkatkan generasi celik Al-Quran di kalangan mahasiswa tempatan.

Tahun ini merupakan penyertaan kali kedua Urusetia Kesenian Pelajar, USIM dan Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai beserta piala iringan yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam UTM.

Oleh:
Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Sains Islam Malaysia