TANJUNG MALIM 25 Sept – Pertandingan Cipta Lagu dan Nyanyian Solo Lagu Patriotik Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) menyaksikan persaingan sengit 12 IPTA yang bertanding. Buat pertama kalinya Universiti Sains Islam Malaysia muncul sebagai Johan Cipta Lagu Terbaik selepas berjaya menewas 11 peserta IPTA yang telah berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

‘Marilah kita langkah bersama, demi menjulang harapan bangsa, Satu Hati Satu Negara’ antara bait lirik Lagu Satu Hati Satu Malaysia dendangan Mohd Nurhakimi Md Yaman, dari Urusetia Kesenian Pelajar Unit Kebudayaan yang juga salah seorang anggota Kumpulan Nasyid Intracksee. Beliau tidak menyangka dengan kemenangan yang diperolehi kerana semua peserta menampilkan persembahan yang cukup hebat dan memukau.  Pertandingan lagu patriotik ini juga merupakan pengalaman manis buat beliau yang menyertainya buat kali pertama dan tidak menyangka kemenangan berpihak kepada USIM berbanding IPTA yang mempunyai Fakulti Muzik seperti UM, UNIMAS dan UPSI. Lagu ciptaan rakan seperjuangan Shukri Sahari dan Lirik oleh Ismail Ahmed membawa pulang Hadiah Wang Tunai berjumlah RM2,000  dan Piala Iringan.

Pertandingan nyanyian ini antara lain bertujuan menanam rasa cinta kepada negara dan menghayati erti kemerdekaan sebagai menghargai pengorbanan dan usaha pemimpin terdahulu dan penghayatan ini disampaikan dalam bentuk nyanyian agar ianya dapat dikongsi oleh segenap lapisan masyarakat.

Menurut Shukri Sahari yang ditemui sejurus pertandingan tamat berkata kesemua persembahan berlainan dari yang lain, di mana ia adalah persembahan yang menuntut kesungguhan peserta sekali gus emosi yang penuh penghayatan dengan lagu yang dibawa.

Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan terus berusaha meningkatkan kemahiran pelajar sebagai rangsangan untuk memajukan diri agar reputasi cemerlang ini dapat dikekalkan sekali gus mengharumkan nama Universiti Sains Islam Malaysia. Tetamu kehormat Y.Bhg. Prof Dr. Azali Mohamed, Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi Yang hadir bagi menyempurnakan majlis penutup dan penyampaiah hadiah.