LAWATAN Kecemerlangan Seni Budaya 1 Dunia di Ho Chi Minh Vietnam pada 28 hingga 4 Oktober baru-baru ini  merupakan program yang bertujuan untuk memperkenalkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kebudayaan Malaysia di arena antarabangsa. Setelah mengambilkira gagasan yang telah di cetuskan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM,  Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM telah menyusun program pengantarabangsaan mahasiswa ke Bandar Ho Chi Minh Vietnam sebagai platfom memperkasakan kecemerlangan mahasiswa USIM.

Program yang sebelum ini dikenali sebagai program “Kunjungan Budaya Kasih Serumpun 2007 – 2010” bertujuan mempercambahkan idealisme mahasiswa kearah pemikiran yang unggul dan berkesan dalam membentuk kerjasama yang erat antara mahasiswa dan warga universiti ASEAN. Ianya juga merupakan pendekatan dinamik USIM melalui program Global Islamic Students Outreach (GISO) yang telah dilancarkan secara rasminya oleh Yang Berhormat Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia pada 15 Jun 2011.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM telah menggerakkan program luar negara ke beberapa destinasi antaranya Indonesia, UAE, Australia, Filipina Kemboja, Beijing, Korea dan yang terakhir ke bandar Ho Chi Minh Vietnam. Hasil dari GISO diharap mampu menjadi satu model yang berkesan dikalangan mahasiswa USIM khususnya Urusetia Kesenian Pelajar dalam meningkatkan soft skill mahasiswa bagi mengimbangi pencapaian akademik dengan merujuk kepada USIM KRA1 dibawah CAP6 iaitu Projek Kecemerlangan Mahasiswa, KA1 ( Pendedahan Luar Negara) dan KA2 ( Penganjuran Program Antarabangsa).

Selari dengan itu Unit Kebudayaan dalam rangka lawatan kecemerlangan kali ini telah menyusun aktiviti pertukaran budaya bersama mahasiswa Ho Chi Minh University of Technology dan Ho Chi Minh School of Traditional Dance, kerja- kerja komuniti bersama Persatuan Muslim Vietnam dan kunjungan rasmi ke Konsulat Malaysia di Ho Chi Minh City. Tanggungjawab Urusetia Kesenian Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia kali ini ialah membawa misi memperkenalkan gagasan 1 Malaysia ke peringkat ASEAN.

Keunikkan budaya Malaysia yang merangkumi pelbagai rencah seni yang berbeza telah diangkat sebagai misi utama dalam Lawatan Kecemerlangan Seni Budaya 1 Dunia ke Ho Chi Minh City Vietnam kali ini. Kunjungan yang bertemakan “ Meningkatkan Perpaduan ASEAN Melalui Seni Budaya” ini telah berjaya mengubah persepsi negatif yang dilemparkan kepada Malaysia melalui media baru yang tiada sempadan hari ini.  Sebagai IPTA yang sentiasa pro aktif melalui program Global Islamic Students Outreach atau GISO, USIM telah melangkah setapak lagi dalam memainkan  peranan memperkenalkan Malaysia dengan membawa delegasi seramai 20 orang mahasiswa dari pelbagai fakulti yang aktif dalam aktiviti kebudayaan bagi menjayakan misi memperkenalkan kebudayaan dan kesenian 1 Malaysia kepada masyarakat kampus di Bandar Ho Chi Minh Vietnam.

Kunjungan pertama dalam jadual program telah membawa delegasi USIM ke Ho Chi Minh School of Traditional Dance dan telah mengadakan sesi Bengkel Kesenian Serantau dengan turut disertai oleh seramai 100 orang pelajar sekolah tersebut. Menurut Encik Ismail Ahmed, Ketua Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM merangkap Ketua Delegasi USIM ke Vietnam, Urusetia Kesenian Pelajar USIM turut mengadakan lawatan rasmi dan mengadakan persembahan 1 Malaysia bertujuan memperkenalkan keharmonian Malaysia di Ho Chi Minh University of Technology.

Program pertukaran budaya antara kedua- dua Negara telah berlangsung dengan penuh meriah dan harmoni. Kenyataan penghargaan yang tinggi telah dizahirkan oleh pengurusan Ho Chi Minh University of Technology melalui emel  yang dikirimkan segera sehari selepas program berlangsung. Objektif program turut memperlihatkan keperihatinan warga USIM yang telah mengadakan sesi dialog dan kerja- kerja khidmat komuniti di Persatuan Muslim Ho Chi Minh Vietnam dengan turut menyampaikan sumbangan sebanyak 95 kilo beras kepada komuniti Islam di Ho Chi Minh.

Delegasi USIM mengakhiri program dengan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Pendidikan Malaysia Kementerian Pengajian Tinggi dan Konsulat Malaysia. Menurut Konsulat Jeneral Malaysia Encik Shazryll Zahiran, langkah yang diambil USIM dan Urusetia Kesenian Pelajar telah membuktikan kewibawaan mahasiswa Malaysia di arena antarabangsa mampu meninggalkan kesan positif dan berimpak tinggi. Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua anggota delegasi USIM kali ini.

Sementara itu mengulas lebih lanjut outcome GISO di Vietnam,  Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Bin Dollah, Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni USIM,  telah menzahirkan kesyukuran diatas potensi yang ditunjukkan oleh mahasiswa USIM yang dilihat mampu menjadi pemimpin masa depan yang serba boleh dan menyumbang kepada masyarakat antarabangsa. Beliau turut  mengucapkan terimakasih kepada semua pihak yang terlibat dan khususnya kepada pengurusan tertinggi universiti kerana sentiasa memberi sokongan padu hingga mampu memotivasikan Urusetia Kesenian Pelajar USIM mencapai kecemerlangan di pelbagai peringkat samada di dalam dan di luar universiti. Kata beliau lagi program GISO akan menjadi agenda penting dan berterusan dimasa akan datang.

Oleh:
Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Sains Islam Malaysia